Pemandu e-hailing direman, dipercayai terlibat kes bakar seorang wanita

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Seorang pemandu e-hailing direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes seorang wanita disimbah petrol dan dibakar di sebuah kedai nombor ramalan di Kepong 9 Ogos lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek lelaki tempatan berusia 59 tahun ditahan semalam bagi membantu siasatan.
  • Suspek mengaku terbabit kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa.
  • Beberapa barangan disita: botol cecair disyaki petrol, topi keledar, baju, motosikal Yamaha 135LC, kunci.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan; suspek direman hingga 25 Ogos. Orang ramai boleh hubungi IPD Sentul.

Suspek lelaki tempatan berusia 59 tahun itu ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menerusi kenyataan memaklumkan, hasil siasatan mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa.

“Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian dirampas, termasuk botol minuman berisi cecair disyaki minyak petrol, satu unit topi keledar, sehelai baju kemeja, sebuah motosikal Yamaha 135LC serta satu rangkai kunci motosikal berserta cukai jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek direman hingga 25 Ogos ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah tersebut boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas melecur 50 peratus, selepas disimbah cecair dipercayai petrol dan dibakar di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.