Dadah lebih RM15 juta dilupuskan

Pelbagai jenis dadah yang dirampas JSJN Polis Kuala Lumpur, dilupuskan – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM15 juta daripada ribuan kes di ibu negara dilupuskan pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelupusan melibatkan 5,022 barang kes daripada 4,884 kertas siasatan bagi tempoh 2007 hingga 2025.
  • Dilupuskan 544.28 kilogram dadah pepejal dan 963.34 liter dadah cecair, berisiko disalahgunakan oleh 382,739 pengguna.
  • Pelupusan memutuskan rantaian penyalahgunaan, menutup ruang kebocoran serta menegaskan pelupusan terus, terkawal dan berintegriti.
  • Proses mengikut PTKPN D207 dengan syarikat Kualiti Alam menggunakan teknologi Scheduled Waste-to-Energy di Pusat Rawatan Sisa Bukit Pelandok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ia melibatkan 5,022 barang kes daripada 4,884 kertas siasatan yang telah disabitkan di mahkamah bagi tempoh 2007 hingga 2025.

Antara bahan terlarang yang dilupuskan ialah 544.28 kilogram dadah pepejal dan 963.34 liter dadah cecair yang berisiko disalahgunakan oleh 382,739 pengguna.

“Pelupusan ini bukan sahaja sekadar memusnahkan dadah tetapi memutuskan rantaian penyalahgunaan, menutup ruang kebocoran serta menegaskan bahawa setiap rampasan yang menjadi barang kes akan dilupuskan secara terus, terkawal dan berintegriti.

“Ini dapat menjelaskan kepada masyarakat bahawa PDRM akan terus berusaha menguruskan serbuan, siasatan sehingga membawa kepada pertuduhan dan disabitkan, pelupusan akan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kuala Lumpur, di sini.

Menurut Datuk Fadil, antara jenis yang dilupuskan termasuk MDMA seberat 65.21 kilogram; methamphetamine 54.39 kilogram; ketamine 33.10 kilogram; nimetazepam 7.98 kilogram dan heroin 6.60 kilogram.

“Kesemua kes ini melibatkan kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(2) ADB 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 6 ADB 1952, selain Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 33 Akta Racun 1952 bagi kes berkaitan air ketum,” tambahnya.

Proses pelupusan dilaksanakan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207 dengan kerjasama syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd menerusi teknologi Scheduled Waste-to-Energy atau insinerator di Pusat Rawatan Sisa di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.