
BANGI, 19 Ogos — Atlet pencak silat Kedah, Intan Zara Sofia Mohamad Nizan sebak selepas berjaya menghadiahkan pingat emas buat arwah ayahnya pada Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), hari ini.
- Intan Zara menang emas Pencak Silat Tanding Puteri Kelas D (60-65 kg), tewaskan Nur Fellysha Auryn, keputusan keseluruhan 45-21.
- Kejayaan itu sangat bermakna; ibu hadir menyaksikan, Intan sebak, bangga dan berterima kasih kepada cikgu serta rakan-rakan ayah.
- Beliau baru tamat SPM dan bercita-cita menyertai pasukan berseragam; emas itu turut emas kedua Kedah, menyamai Perlis.
Atlet berusia 18 tahun itu meraih emas dalam acara Pencak Silat Tanding Puteri Kelas D 60 hingga 65 kilogram (kg) selepas menewaskan wakil Melaka, Nur Fellysha Auryn dengan kemenangan keseluruhan 45-21.
Intan Zara Sofia yang membuat penampilan sulung di pentas SUKMA berkata kejayaan itu amat bermakna, terutama apabila ibunya hadir menyaksikan aksi final.
“Rasa sebak, rasa bangga, rasa hiba. Sedih. Rasa nak tunjuk kat arwah abah saya, kat ibu, terima kasih kepada cikgu dan geng-geng ayah semua.
“Saya kena buat yang terbaik. Semua untuk keluarga saya. Saya kena buktikan dekat arwah abah saya. Dia yang nak saya sampai sini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Menurutnya, kejayaan beraksi di SUKMA merupakan impian yang mahu direalisasikan sebagai penghormatan buat arwah ayahnya yang sentiasa mendorongnya dalam sukan berkenaan.
Intan Zara Sofia yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut menyimpan hasrat untuk menyertai pasukan berseragam sebagai langkah seterusnya.
Kejayaan itu menyumbang pingat emas kedua Kedah dalam acara pencak silat puteri pada hari ini, sekali gus menyaksikan Kedah menyamai pencapaian Perlis dengan masing-masing mengumpul dua pingat emas.