
DAMSYIK, 19 Ogos – Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menemui beberapa tan bahan nuklear di Syria, di lokasi yang dilaporkan Damsyik kepada agensi itu bulan lalu.
- IAEA memuji keputusan berani Syria melaporkan tapak nuklear tidak diisytiharkan, warisan rejim terdahulu.
- Penilaian teknikal menyatakan bahan itu tidak menimbulkan risiko dan akan kekal dalam simpanan Syria di bawah sistem perlindungan agensi.
- Grossi: bahan akan direkodkan dan diletakkan bawah sistem perlindungan antarabangsa; pakar Syria dan IAEA akan bekerjasama.
- Penemuan mengesahkan syak wasangka lama IAEA bahawa Syria cuba membina reaktor; zarah uranium turut ditemui pada 2024.
Ketika bercakap dalam sidang media di sini, Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi memuji keputusan berani Syria untuk melaporkan lokasi yang sebelum ini tidak diisytiharkan, yang wujud sejak pemerintahan bekas pemimpin Bashar al-Assad yang digulingkan.
“Kita bercakap mengenai beberapa tan bahan nuklear yang boleh disalahgunakan,” katanya.
Dalam sidang media sama, Menteri Luar Syria Asaad al-Shaibani berkata, sepucuk surat rasmi telah dihantar kepada agensi itu pada 17 Julai lalu bagi memaklumkan mengenai kewujudan bahan nuklear di sebuah lokasi yang tidak diisytiharkan, sebagai sebahagian daripada legasi yang ditinggalkan rejim terdahulu.
Menurut Shaibani, penilaian teknikal menunjukkan bahan tersebut tidak menimbulkan risiko dan akan kekal dalam simpanan Syria, namun tertakluk kepada sistem perlindungan agensi berkenaan.
Grossi pula berkata, bahan itu akan direkodkan dan diletakkan bawah sistem perlindungan antarabangsa.
“Pakar Syria dan IAEA akan bekerjasama untuk menyimpan bahan tersebut dengan selamat. Kita sedang membuka lembaran baharu, namun tidak bermakna melupakan masa lalu,” katanya.
Selain lokasi yang dikenal pasti Syria baru-baru ini, Grossi turut melawat sebuah lagi lokasi di Deir Ezzor di bahagian timur, yang ditutup selama 18 tahun.
Badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 2011 mengisytiharkan lokasi Syria itu, sangat berkemungkinan merupakan sebuah reaktor nuklear.
Pierre Razoux, pengarah akademik badan pemikir Perancis, FMES Institute memberitahu AFP bahawa bahan nuklear yang ditemui pada Selasa, kemungkinan besar mempunyai kaitan dengan program nuklear Syria yang dihentikan pada 2007 selepas serangan Israel ke atas lokasi Al-Kibar di Deir Ezzor.
Bagaimanapun katanya, Syria juga mungkin mempunyai bahan nuklear yang telah dilupuskan Iraq pada awal 2000-an.
Grossi berkata, penemuan itu mengesahkan syak wasangka lama IAEA bahawa Syria secara rahsia sedang membina sebuah reaktor.
Tahun lalu, badan pemantau berkenaan turut menemui zarah uranium di lokasi tersebut ketika pemeriksaan pada 2024. -AFP