Rodri tinggalkan Etihad, kini milik Barcelona

Foto AFP

BARCELONA, 19 Ogos – Barcelona mengesahkan menandatangani kapten Sepanyol, Rodri, dari kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester City, dengan pemain tengah itu menandatangani kontrak sehingga 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perpindahan dilaporkan bernilai sekitar 75 juta euro selepas kedua-dua kelab mencapai persetujuan.
  • Selepas tujuh musim cemerlang, beliau membantu kemenangan Liga Juara Eropah 2023 dan empat gelaran liga.
  • Bergelut dengan kecederaan dua musim lalu tetapi kembali menyerlah membantu Sepanyol menjuarai Piala Dunia baru-baru ini.
  • Hampir menyertai Real Madrid namun akhirnya memilih menyarung jersi musuh tradisi kelab tersebut.

Dalam kenyataan di laman sesawang rasmi kelab, juara La Liga itu memaklumkan, pemain berusia 30 tahun berkenaan melengkapkan perpindahan yang menjadi antara saga perpindahan terpanjang musim panas ini.

Menurut laporan pada Ahad, Barcelona dan Manchester City mencapai persetujuan untuk melengkapkan perpindahan pemenang Ballon d’Or 2024 itu dengan nilai sekitar 75 juta euro ($87 million).

Rodri kemudian tiba di ibu negara Catalonia itu pada Isnin bagi memuktamadkan terma peribadinya bersama kelab baharunya.

Selepas tujuh musim yang sarat dengan kejayaan bersama Manchester City, bekas pemain Atletico Madrid dan Villarreal itu sebelum ini dilaporkan hampir menyertai Real Madrid, namun akhirnya memilih untuk menyarung jersi musuh tradisi kelab berkenaan.

Pemain tengah itu bergelut dengan masalah kecederaan sepanjang dua musim lalu, namun kembali menyerlah ketika membantu Sepanyol muncul juara Piala Dunia kedua mereka di Amerika Utara bulan lalu.

Rodri menjadi tonggak penting dalam skuad kendalian Pep Guardiola di Manchester City, termasuk membantu kelab itu menjuarai Liga Juara Eropah 2023 serta empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris daripada keseluruhan 12 trofi utama sepanjang tujuh musimnya di Etihad.

“Saya meninggalkan kelab ini dengan rasa bangga yang amat besar terhadap apa yang telah kami capai dan rasa terima kasih atas begitu banyak kenangan yang luar biasa.

“Apa yang kami lakukan bersama sepanjang tahun-tahun ini adalah sesuatu yang sangat istimewa dan tidak akan dilupakan,” kata Rodri dalam kenyataan di laman sesawang Manchester City.

Rodri menjadi pemain berprofil tinggi ketiga yang menyertai Barcelona pada jendela perpindahan musim panas ini selepas Anthony Gordon dari Newcastle dan Karim Adeyemi dari Borussia Dortmund. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.