CRS proses lebih 70,000 transaksi, SSM terus perkukuh sistem digital

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh (tengah) merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Ssm 2026 Serta Pelancaran Corporate Registry System di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Sistem Pendaftaran Korporat (CRS) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah memproses lebih 70,000 transaksi setakat 10 Ogos, mencerminkan perkembangan positif usaha pendigitalan perkhidmatan pendaftaran korporat negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • SSM terus memperkukuh CRS untuk memastikan perkhidmatan pendaftaran korporat lebih cekap, selamat dan berdaya tahan, serta menyatukan ekosistem digital.
  • Pelaksanaan CRS secara berfasa: fasa awal melibatkan MyCoID, e-Secretary dan penyerahsimpanan dokumen, fasa seterusnya meliputi perniagaan, pemilikan tunggal dan PLT.
  • SSM menggerakkan pasukan teknikal untuk pemulihan dan penstabilan, memantau serta memberikan sokongan termasuk pengecualian penalti dan pelanjutan tempoh penyerahsimpanan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, SSM terus memperkukuh CRS bagi memastikan perkhidmatan pendaftaran dan transaksi korporat lebih cekap, selamat serta berdaya tahan.

“CRS kini menjadi platform yang menyatukan perkhidmatan pendaftaran korporat ke dalam ekosistem digital yang lebih bersepadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

CRS dilaksanakan secara berfasa, dengan fasa pertama bermula 14 Julai lalu melibatkan perkhidmatan syarikat, termasuk MyCoID, e-Secretary dan pelbagai perkhidmatan penyerahsimpanan dokumen berkanun.

Pelaksanaan secara berperingkat itu membolehkan SSM menstabilkan sistem, melaksanakan penambahbaikan teknikal serta mengambil kira maklum balas pengguna.

“Fasa seterusnya dijangka dilaksanakan secara berperingkat sehingga akhir tahun ini, meliputi perkhidmatan berkaitan milikan tunggal, perkongsian konvensional, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad (PLT),” menurut kenyataan itu.

Beliau berkata, KPDN mengakui CRS berdepan beberapa isu prestasi dan pengalaman pengguna pada peringkat awal pelaksanaannya.

Susulan itu, SSM menggerakkan pasukan teknikal secara intensif, termasuk bersama pembangun sistem, pakar pangkalan data dan pakar infrastruktur bagi melaksanakan program pemulihan serta penstabilan sistem.

SSM sebelum ini memaklumkan CRS kembali beroperasi pada 17 Julai selepas mengalami penangguhan pelaksanaan.

Sistem itu terus dipantau dan dioptimumkan bagi meningkatkan kestabilan, prestasi serta pengalaman pengguna.

Sebagai langkah sokongan kepada pengguna yang terjejas, SSM turut melaksanakan pengecualian berkaitan penalti atau fi lewat serah simpan serta pelanjutan tempoh penyerahsimpanan bagi tempoh yang terlibat.

CRS merupakan sebahagian daripada usaha SSM untuk mengintegrasikan perkhidmatan pendaftaran dan transaksi korporat dalam satu ekosistem digital, sekali gus memudahkan urusan syarikat, perniagaan dan pihak berkepentingan.

Setakat 10 Ogos, SSM mengawal selia lebih 718,000 syarikat aktif, 1.7 juta perniagaan aktif dan kira-kira 40,000 PLT aktif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.