Trump ancam akan bom Oman, ketegangan Asia Barat meningkat

Presiden AS, Donald Trump / Foto AFP

DUBAI, 18 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam akan mengebom Oman jika menghalang usaha Washington mencapai persetujuan dengan Iran berhubung Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tempoh 60 hari memorandum persefahaman bagi perjanjian damai antara AS dan Iran tamat.
  • Tehran dan Muscat berbincang beberapa minggu tentang peraturan maritim Selat Hormuz, menyediakan deklarasi bersama.
  • Utusan AS Jared Kushner kata perbincangan dengan Iran sangat positif dan aktif walau kepercayaan rendah.
  • Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata AS melanggar perjanjian, lalu 60 hari itu tidak lagi relevan.

Ancaman itu dibuat ketika tempoh 60 hari yang ditetapkan dalam memorandum persefahaman bagi memuktamadkan perjanjian damai antara AS dan Iran berakhir.

“Jika Oman menghalang, kami akan mengebom negara itu habis-habisan,” kata Trump semasa temu bual bersama media tempatan, merujuk kepada rundingan Oman dengan Iran berhubung Selat Hormuz.

Tehran dan Muscat dilapor telah berbincang selama beberapa minggu mengenai aturan maritim masa hadapan di laluan perkapalan penting itu.

Kementerian Luar Iran memaklumkan kedua-dua pihak sedang menyediakan deklarasi bersama.

Pada masa sama, utusan Trump, Jared Kushner berkata AS dan Iran sedang mengadakan perbincangan yang sangat positif dan aktif, walaupun tahap kepercayaan antara kedua-dua negara kekal rendah.

Trump pula menegaskan sebarang persetujuan perlu memenuhi tuntutan Washington, termasuk pendirian bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear.

Bagaimanapun, Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei menyifatkan tempoh 60 hari dalam memorandum persefahaman yang dimeterai pada Jun sebagai tidak lagi relevan.

Beliau mendakwa AS sebenarnya telah melanggar perjanjian itu sejak awal.

“Kami tidak memulakan sebarang rundingan kerana beberapa minggu selepas pemeteraian, pelanggaran besar-besaran terhadap perjanjian mula berlaku, sekali gus menjadikan peruntukan 60 hari itu tidak lagi relevan,” katanya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.