
KUANTAN, 17 Ogos – Polis Pahang menafikan dakwaan mengenai kewujudan kartel dadah di Genting Highlands yang tular di media sosial menerusi platform Threads baru-baru ini.
- Polis akan menyiasat dan mengambil tindakan jika menerima laporan pengedaran dadah, termasuk di Genting Highlands.
- Tindakan penguatkuasaan tidak tertumpu kepada satu kawasan; ia meliputi seluruh negeri Pahang berdasarkan maklumat.
- Pemandu lori tangki kemalangan yang mengorbankan dua beranak di Temerloh masih direman; kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat yang mengesahkan dakwaan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, polis akan mengambil tindakan dan menjalankan siasatan sekiranya menerima laporan atau maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah, termasuk di Genting Highlands.
“Saya rasa saya tidak boleh bersetuju dengan kenyataan tersebut sama ada ada kartel besar di Genting Highlands kerana apa-apa kejadian yang berlaku, sama ada di Genting Highlands atau mana-mana kawasan.
Sekiranya ada laporan polis yang dibuat membabitkan kejadian yang menyalahi undang-undang, pihak kami akan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada kawasan tertentu, sebaliknya meliputi seluruh negeri Pahang sekiranya terdapat laporan atau maklumat berkaitan kegiatan berkenaan.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.
Dalam majlis itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Sukarno Mohd Zahari dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) Kontinjen Pahang yang baharu.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan, pemandu lori tangki yang terbabit dalam kemalangan sehingga mengorbankan dua beranak di Temerloh masih dalam tahanan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.
Datuk Azry berkata, kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung tindakan yang akan diambil.
“Kes masih dalam siasatan dan pemandu tersebut masih dalam tahanan kami sehingga esok. Kes tersebut juga akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan akan dituduh selepas mendapat keputusan daripada pejabat TPR,” katanya.