RCI TH: Wang hibah diterima pendeposit sah, berasaskan akad sempurna

Wang diterima pendeposit tidak dikategorikan sebagai harta haram atau syubhah yang wajib dipulangkan

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Wang hibah diagihkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) pada tahun defisit terutamanya dalam tempoh 2014 hingga 2020 adalah sah milik pendeposit, menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP).

RINGKASAN BERITA AI
  • Hibah yang diterima pendeposit adalah milik sah kerana akad hibah telah sempurna dan berlaku qabd.
  • Segala salah tadbir urus, pelanggaran akta dan perakaunan menjadi beban pengurusan, bukan tanggungan pendeposit.
  • Peralihan kepada kontrak Wakalah memastikan pulangan berdasarkan keuntungan sebenar; tiada keuntungan, tiada agihan.

Jabatan terbabit memaklumkan wang diterima pendeposit itu tidak dikategorikan sebagai harta haram atau syubhah yang wajib dipulangkan kerana penerimaannya berasaskan akad hibah yang telah sempurna syarat penyerahan.

“Selain itu, mana-mana jemaah yang telah menunaikan ibadah haji menggunakan wang hibah pada tempoh berkenaan, ibadah haji mereka adalah sah dan tidak terjejas,” menurut jabatan itu menerusi penerbitan artikel di ruangan “Tinta Mufti” di laman sesawang JMWP hari ini.

Artikel itu diterbitkan bagi memberi pencerahan dari sudut Fiqh Muamalat, susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 yang mengundang keraguan dalam kalangan pendeposit berhubung status hibah diterima mereka.

Mengulas lanjut, jabatan itu memaklumkan pada tempoh masa tersebut, kontrak yang berlaku antara pendeposit dan TH ialah kontrak Wadi’ah Yad Dhamanah (Simpanan Berjaminan) atau TH dianggap meminjam wang daripada pendeposit untuk digunakan bagi tujuan pelaburan dan lain-lain.

“Oleh itu, TH tidak boleh menjanjikan sebarang keuntungan, sebaliknya pulangan yang diberikan kepada pendeposit berstatus hibah yang bersifat sukarela. Maka, apabila hibah yang diisytiharkan telah dimasukkan ke dalam akaun pendeposit, ia dianggap telah berlaku qabd dan hukumnya sah menjadi hak milik pendeposit.

“Kegagalan mematuhi piawaian perakaunan atau pelanggaran undang-undang oleh pihak pengurusan tidak membatalkan keabsahan kontrak pemberian hibah tersebut di sisi syarak,” menurut JMWP.

Selain itu, JMWP memaklumkan, segala isu salah tadbir urus akaun, ketidakpatuhan akta dan pelaporan perakaunan kreatif menjadi beban tanggungan pihak pengurusan pada ketika itu, bukannya bebanan pendeposit atau orang awam yang tidak mengetahui realiti kedudukan kewangan dalaman.

“Dalam keadaan berlakunya kekurangan terhadap transaksi lepas yang telah sempurna dan dilaksanakan secara meluas, Syarak turut mengiktiraf pendekatan mengesahkan transaksi yang telah berlaku serta mengangkat kesukaran merupakan prinsip yang diterima dalam Syarak demi menjaga hak pihak yang berkontrak bagi mengelakkan kemudaratan lebih besar,” menurut artikel itu.

Dalam pada itu, JMWP menyifatkan langkah TH beralih kepada kontrak Wakalah bermula Disember 2019 adalah satu tindakan amat tepat, iaitu institusi itu bertindak sebagai ejen pelaburan dengan pulangan diagihkan berasaskan keuntungan bersih sebenar hasil pelaburan, bukan lagi atas nama hibah sukarela.

“Oleh itu, sekiranya berlaku keadaan tiada keuntungan atau defisit pada masa hadapan, TH secara automatik tidak boleh mengagihkan sebarang pulangan. Hal Ini menutup ruang amalan tidak cermat, meningkatkan kehematan dan memastikan ketelusan sepenuhnya,” menurut JMWP.

JMWP dalam artikel sama turut memberi peringatan bahawa skandal integriti yang melibatkan TH ketika ini wajib menjadi titik tolak pengislahan menyeluruh buat pengurusan institusi Islam di Malaysia. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.