
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) akan dipinda bagi memastikan amanah umat Islam terus dipelihara.
- Perkukuhkan tatakelola, bersihkan institusi dan perbetulkan kelemahan dengan tegas untuk memastikan kebertanggungjawaban.
- AUKU 1971 mesti dimansuhkan sepenuhnya tanpa undang-undang baharu yang mengongkong suara mahasiswa.
- Kerajaan MADANI akan pastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik atau negeri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan itu merupakan antara langkah Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tatakelola serta memastikan setiap kelemahan institusi diperbetulkan dengan tegas.
“Tatakelola mesti terus diperkukuh, institusi dibersihkan dan setiap kelemahan diperbetulkan dengan tegas.
“Akta Tabung Haji akan dipinda demi memelihara amanah umat Islam, manakala AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) 1971 mesti dimansuhkan sepenuhnya, tanpa digantikan dengan undang-undang baharu yang terus mengongkong suara mahasiswa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI bawah pimpinan beliau akan terus memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik, tanpa mengira latar belakang politik atau negeri.
Tegas beliau, rakyat di negeri yang ditadbir pembangkang juga wajar dibela kerana amanah kerajaan bukan hanya kepada penyokong atau negeri tertentu, tetapi kepada seluruh rakyat dan negara.
Bersempena Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2026 yang melabuhkan tirai hari ini, Datuk Seri Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan parti itu perlu kekal sebagai wadah perjuangan untuk semua merentas kaum, agama dan wilayah dengan prinsip keadilan dibuktikan melalui dasar serta tindakan.
“Kekuatan Keadilan bergantung pada saf yang bersih, kepimpinan yang teguh dan gerak kerja yang tersusun. Kuasa bukan alat untuk memperkaya diri, keluarga atau kroni, tetapi amanah untuk membela rakyat, menegakkan keadilan dan mengangkat martabat insan.
“Rapatkan barisan, perkemas gerak kerja dan terus mara demi rakyat dan negara,” kata Perdana Menteri.