
MAUMERE, 15 Ogos – Angka korban gempa bumi kuat 7.7 magnitud yang melanda perairan berhampiran Pulau Flores, Indonesia meningkat kepada sekurang-kurangnya 38 orang.
- 13 orang cedera, dua parah; kira-kira 2,000 penduduk dipindahkan.
- Operasi mencari dan menyelamat diteruskan; beberapa mangsa dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
- Puluhan rumah dan bangunan rosak; laluan jalan terputus akibat tanah runtuh menyukarkan usaha penyelamat.
- Presiden Suruhanjaya Eropah menawarkan bantuan satelit Copernicus untuk sokong usaha mencari dan menyelamat.
Ketua Badan Pengurusan Bencana Indonesia, Suharyanto berkata, 13 orang turut cedera termasuk dua parah, manakala kira-kira 2,000 penduduk telah dipindahkan.
“Mangsa terperangkap di beberapa bangunan.
“Lokasi-lokasi ini akan menjadi sasaran awal pasukan tindak balas bencana,” katanya pada sidang media.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan beberapa mangsa dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Puluhan rumah serta bangunan dilaporkan rosak, manakala beberapa laluan jalan raya terputus akibat tanah runtuh sehingga menyukarkan usaha pasukan penyelamat.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menawarkan bantuan menerusi satelit pemerhatian bumi Copernicus bagi menyokong usaha mencari dan menyelamat.
Indonesia kerap dilanda gempa bumi kerana terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktiviti seismik tinggi.
Pulau Flores pernah dilanda gempa bermagnitud 7.7 pada 1992 yang mencetuskan tsunami dan mengorbankan kira-kira 2,500 orang. – AFP