
LAHAD DATU, 15 Ogos — Sebanyak 211 vesel nelayan tempatan (VNT) diperiksa manakala dua ditahan dalam Operasi Bersepadu MARDOF Sabah Siri 5/2026 di perairan Lahad Datu dan Kunak dari 4 hingga 14 Ogos lalu.
- Pemeriksaan membabitkan 90 individu: 58 warga tempatan dan 32 warga asing.
- Vesel nelayan ditahan kerana kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
- Kesalahan termasuk penggunaan bahan letupan dan menangkap ikan kurang daripada dua batu nautika dari pulau terdekat.
- Nilai rampasan dianggarkan RM206,000; operasi tujuh hari melibatkan 30 pegawai Maritim dan Jabatan Perikanan.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pemeriksaan itu membabitkan 90 individu terdiri daripada 58 warga tempatan dan 32 warga asing.
Katanya, dua VNT ditahan selepas dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Kesalahan yang dikesan melibatkan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan serta menangkap ikan pada jarak kurang daripada dua batu nautika dari pulau terhampir,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan RM206,000.
Operasi bersepadu selama tujuh hari itu dilaksanakan Maritim Malaysia Zon Lahad Datu bersama Jabatan Perikanan Lahad Datu dengan penglibatan 30 pegawai dan anggota.
Operasi memberi fokus kepada pematuhan syarat lesen vesel, pengesahan identiti tekong dan kru serta penggunaan peralatan menangkap ikan yang dibenarkan.
Dzulfikhar berkata, operasi itu turut membuktikan komitmen kedua-dua agensi dalam membanteras kegiatan penangkapan ikan secara haram dan memelihara kelestarian sumber perikanan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kejadian mencurigakan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu menerusi WhatsApp di 016-930 5727 atau talian kecemasan 999.