
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Sebanyak 44 perjalanan berjadual Electric Train Service (ETS) sempena sambutan Hari Kebangsaan dan cuti sekolah habis dijual, mendorong Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membuka 124 perjalanan tambahan dengan hampir 39,000 tempat duduk.
- KTMB galakkan penempahan awal bagi pengembara cuti untuk elakkan kehabisan tiket.
- Sebanyak 20 peratus tiket perjalanan tambahan telah terjual; 80 peratus masih tersedia untuk tempahan.
- KTMB tawar diskaun sehingga 30 peratus antara 21 Ogos hingga 6 September, tertakluk kepada tempat duduk dan laluan.
- Perkhidmatan EMU Plus tambah perjalanan dan perkenalkan hentian Bandar Tasik Selatan TBS serta pengambilan dari Subang Jaya dan Klang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, 20 peratus daripada tiket perjalanan tambahan itu telah terjual setakat ini, manakala kira-kira 80 peratus masih tersedia untuk tempahan.
“Penjualan tiket amat menggalakkan. Kesemua 44 perjalanan yang dibuka sebelum ini telah habis dijual.
“Sebanyak 124 perjalanan tambahan dengan 39,000 tempat duduk telah dibuka bermula semalam. Setakat hari ini, 20 peratus telah terjual dan masih terdapat 80 peratus tempat duduk yang tersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-16 ETS di sini, hari ini.
Datuk Azlan Shah menggalakkan orang ramai yang merancang untuk bercuti, beriadah atau pulang ke kampung supaya membuat tempahan lebih awal bagi mengelakkan kehabisan tiket.
Dalam pada itu, KTMB menawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi perjalanan terpilih antara 21 Ogos hingga 6 September, tertakluk kepada tempat duduk, laluan dan waktu perjalanan yang ditetapkan.
Sempena dengan ulang tahun ke-16 ETS, KTMB turut menawarkan diskaun RM16 bagi laluan dan tarikh terpilih.
Bagi perkhidmatan EMU Plus, sebanyak 24 perjalanan dengan kira-kira 7,000 tempat duduk tambahan disediakan sepanjang tempoh dua minggu berkenaan.
Perkhidmatan itu turut memperkenalkan Bandar Tasik Selatan atau Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sebagai hentian baharu bermula 21 Ogos, selain menyediakan kemudahan pengambilan penumpang dari Subang Jaya, Klang dan TBS bagi perjalanan ke Ipoh.
Sementara itu, lebih 44 juta penumpang direkodkan menggunakan ETS sejak perkhidmatan itu diperkenalkan pada 2010.
Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini sahaja, ETS merekodkan 3.67 juta penumpang, meningkat 44 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut KTMB, peningkatan itu mencerminkan permintaan serta sokongan menggalakkan pengguna terhadap perkhidmatan rel berkenaan.