
KAYANG, 14 Ogos – Lebih 2,000 pengunjung dan peserta bakal memeriahkan program Semarak Merdeka: Program Terpa Mai Join Kami, Sukan Dalam Bendang yang dijadual berlangsung pada 22 Ogos ini di Kampung Bangsal Lebah, di sini.
- Program Semarak Merdeka menghidupkan sambutan Bulan Kebangsaan melalui Sukan Dalam Bendang melibatkan komuniti setempat.
- Lebih 20 aktiviti diatur untuk semua peringkat usia termasuk permainan tradisional, pemeriksaan kesihatan dan acara keluarga.
- Sukan bendang memulihkan semangat kebersamaan dan mengangkat warisan tradisi yang membentuk jati diri masyarakat kampung.
- Program mengukuhkan perpaduan, saling hormat-menghormati dan kerjasama, dianjur JPKKP bersama KEMAS, mahasiswa UUM dan UMNO Kangar.
Program dilaksanakan bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan melibatkan komuniti setempat.
Menurut Pengarah Program, Norhayati Hashim, lebih 20 aktiviti telah diatur melibatkan pelbagai peringkat usia dan kaum.
“Antara aktiviti termasuklah pukul bantal atas titi, bola dalam bendang, sukan kanak-kanak, tangkap itik, lari dalam guni, tunjuk aksi bina semangat, aktiviti bersama keluarga. Turut diadakan pemeriksaan kesihatan, acara khas komuniti dan permainan tradisional serta kibaran Jalur Gemilang,” katanya.
Beliau berkata penganjuran sukan bendang dapat mengembalikan semangat kebersamaan di samping mengangkat warisan tradisi yang membentuk jati diri khususnya masyarakat di kampung.
“Inisiatif ini juga dilihat sebagai sangat bernilai apabila diperkenalkan kepada generasi muda selain menjadi wadah penting dalam mengukuhkan semangat perpaduan, saling hormat-menghormati serta kerjasama dalam kalangan masyarakat,” jelasnya lagi.
Program dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bangsal Lebah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Kangar, mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) dan UMNO Bahagian Kangar.