Seludup bunga ganja RM1 juta dalam kotak mainan

Foto RTM

SEPANG, 13 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas 60.47 kilogram bunga ganja dalam dua kes berasingan, bulan lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bungkusan disorok dalam kotak mainan; 12.675 kilogram bunga ganja bernilai RM1.014 juta dirampas pada 13 Julai.
  • Bagasi ditinggalkan di 'Lost and Found' mengandungi 47.8 kilogram bunga ganja bernilai RM3.824 juta, dijadualkan untuk penerbangan ke Langkawi.
  • JKDM menyiasat kes di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; orang ramai diminta salurkan maklumat ke talian Kastam.

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila Ag Tuah berkata, kedua-dua kes membabitkan cubaan membawa keluar bahan terlarang itu menggunakan perkhidmatan kargo dan bagasi penumpang, dengan nilai keseluruhan rampasan RM4.838 juta.

Menerusi serbuan pertama pada 13 Julai, JKDM merampas empat bungkusan di Pusat Mel KLIA dipercayai mengandungi 12.675 kilogram bunga ganja bernilai RM1.014 juta yang disembunyikan dalam plastik lutsinar kedap udara dan kotak permainan kanak-kanak.

“Bungkusan itu dipercayai akan dihantar ke sebuah negara di Eropah,” jelasnya.

Beliau berkata, menerusi kes kedua pada 14 Julai membabitkan dua bagasi yang ditinggalkan di pejabat ‘Lost and Found, Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1 KLIA.

Hasil pengimbasan mendapati imej mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut menemukan 47.8 kilogram bunga ganja bernilai RM3.824 juta dalam bungkusan plastik kedap udara.

“Bagasi berkenaan dijadualkan untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Langkawi, namun ditinggalkan oleh penumpang,” jelasnya.

JKDM masih menjalankan siasatan dan syarikat penerbangan telah dipanggil bagi membantu mengesan pemilik bagasi berkenaan.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

JKDM turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kepada jabatan berkenaan menerusi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.