Jerebu: Enam sekolah di Tebedu ditutup sementara

Foto BERNAMA

KUCHING, 12 Ogos – Enam sekolah di kawasan Tebedu di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian, telah ditutup sementara susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 akibat jerebu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekolah terlibat: SK Sejijag, SK Sungai Sameran, SK Tepoi, SK Entubuh, SK Temong dan SK Tema.
  • Penutupan adalah langkah pencegahan menurut garis panduan KPM, menekankan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah.
  • Pengetua dan guru besar diminta bertindak segera berdasarkan bacaan IPU setempat tanpa menunggu arahan PPD atau JPNS.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan enam sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sejijag, SK Sungai Sameran, SK Tepoi, SK Entubuh, SK Temong dan SK Tema.

“Penutupan tersebut merupakan langkah pencegahan yang dilaksanakan berdasarkan ketetapan dan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan mengambil kira keutamaan terhadap keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga sekolah,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu juga JPNS menjelaskan pihak sekolah tidak perlu menunggu arahan khusus daripada PPD atau JPNS untuk mengambil tindakan penutupan sekolah apabila bacaan IPU di kawasan atau daerah masing-masing telah melebihi 200.

“Ia selaras dengan Surat Siaran KPM Bil. 1 Tahun 2019: Langkah-Langkah KPM Bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid-Murid di Sekolah-Sekolah yang Berada dalam Kawasan Berjerebu yang Dianggap Kritikal, sekiranya bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup dengan serta-merta,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pengetua dan guru besar hendaklah bertindak segera berdasarkan bacaan IPU semasa di kawasan masing-masing dan tidak perlu menunggu arahan penutupan daripada PPD atau JPN.

Pendekatan tersebut penting bagi memastikan tindakan perlindungan terhadap murid dan warga sekolah dapat dilaksanakan secara pantas tanpa berlaku kelewatan, khususnya apabila bacaan IPU telah mencapai tahap yang ditetapkan dalam garis panduan KPM.

JPNS melalui PPD Serian akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dan keadaan kualiti udara dari semasa ke semasa dengan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa serta agensi berkaitan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.