JIM tahan lebih 1,000 PATI dalam operasi dua hari

Foto RTM

KAJANG, 12 Ogos – Lebih 1,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di seluruh negara yang dilaksanakan pada 10 dan 11 Ogos.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi memfokuskan kawasan penempatan hasil aduan dan risikan; kira-kira 3,300 individu diperiksa.
  • Warga Bangladesh mencatat jumlah tertinggi, diikuti Indonesia dan Myanmar sebagai tiga kebangsaan utama ditahan.
  • JIM galak Program Repatriasi Sukarela: serah diri, bayar kompaun RM500 dan dihantar pulang; operasi penguatkuasaan akan diteruskan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi kali ini memfokuskan kawasan penempatan hasil aduan dan maklumat orang awam serta hasil risikan yang menyaksikan seramai lebih 3,300 individu diperiksa.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,043 orang ditahan di seluruh negara.

“Berdasarkan pecahan kewarganegaraan, warga Bangladesh mencatat jumlah tertinggi, diikuti Indonesia dan Myanmar. Itu tiga warga negara utama yang kita tahan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas operasi yang dijalankan JIM di Kampung Sungai Chua, Kajang.

Tambah beliau, seramai 248 individu daripada kira-kira 330 penghuni ditahan untuk siasatan lanjut dalam operasi yang dijalankan malam tadi.

Menurut beliau, majoriti yang ditahan adalah lelaki berusia antara 17 hingga 59 tahun, selain terdapat kanak-kanak yang ditahan bersama keluarga.

Dalam masa sama, JIM terus menggalakkan PATI menggunakan Program Repatriasi Migran secara sukarela dengan menyerah diri dan membayar kompaun RM500 seterusnya dihantar pulang ke negara asal.

“Kita menyeru semua warga asing yang masih berada di negara ini secara tidak sah supaya mengambil kesempatan daripada program yang dilaksanakan ini kerana operasi penguatkuasaan akan terus dijalankan dan kita tidak akan berhenti melaksanakan operasi.

“Oleh itu, mereka disaran mengambil kesempatan daripada program ini bagi mengelakkan diri daripada ditahan dan ditempatkan di depo imigresen,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memaklumkan lebih 31,000 individu telah dihantar pulang setakat Julai tahun ini, manakala kira-kira 28,000 individu yang ditahan telah dimasukkan ke depo imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dengan purata lebih lima operasi dilaksanakan setiap hari di seluruh negara selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangani kebimbangan rakyat terhadap kehadiran warga asing yang dilihat tidak terkawal.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.