
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Pengalaman mengharungi tekanan pada penampilan sulung bersama skuad senior menjadi pembelajaran penting buat pemain muda Harimau Malaya, Muhammad Alif Ahmad, dalam usaha meningkatkan prestasi menjelang aksi separuh akhir Piala ASEAN 2026 menentang Vietnam.
- Panggilan ke skuad senior dari Liga A1 tidak dijangka dan beliau menghargai peluang serta minit permainan diberi jurulatih.
- Kritikan dijadikan motivasi untuk membaiki kelemahan dan meningkatkan mutu permainan seterusnya.
- Sokongan pemain berpengalaman termasuk kapten Paulo Josue membantu beliau beraksi lebih tenang dan menyesuaikan diri.
- Persiapan menghadapi Vietnam berjalan lancar dan beliau sedia memikul tanggungjawab lebih besar jika kembali diberi kepercayaan.
Pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berusia 23 tahun itu mengakui peralihan daripada saingan Liga A1 ke pentas antarabangsa bersama skuad senior bukan sesuatu yang mudah, namun pengalaman tersebut membantunya membina keyakinan untuk tampil lebih baik dalam perlawanan seterusnya.
Menurut Alif, tekanan termasuk kecaman daripada penyokong pada penampilan pertamanya tidak mematahkan semangat, sebaliknya dijadikan sebagai motivasi untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu permainannya.
“Pada awal saya bermain, memang saya rasa sedikit tertekan kerana ini kali pertama saya bermain bersama skuad senior. Jadi, saya anggap semua kecaman itu sebagai semangat untuk saya terus memperbaiki diri.
“Alhamdulillah, dalam perlawanan-perlawanan selepas itu, saya rasa prestasi saya lebih baik berbanding aksi pertama,” katanya.
Alif turut mengakui tidak pernah menjangka peluang beraksi dalam Liga A1 akan membawanya ke pentas Piala ASEAN bersama skuad kebangsaan, apatah lagi diberi kepercayaan untuk memperoleh minit permainan.
“Saya memang tidak menjangka daripada Liga A1 terus ke skuad senior dan tiba-tiba mendapat peluang bermain bersama pasukan kebangsaan. Tetapi apabila sudah dipanggil, saya anggap itu sebagai rezeki saya.
“Sejujurnya, bermain bersama skuad senior memang antara impian saya. Alhamdulillah, saya juga mendapat banyak minit permainan dan peluang daripada jurulatih,” jelasnya.
Dalam pada itu, Alif berkata sokongan daripada pemain berpengalaman, khususnya kapten Harimau Malaya, Paulo Josue, banyak membantunya menyesuaikan diri dengan persekitaran skuad senior.
Katanya, kata-kata semangat daripada Paulo memberikannya keyakinan untuk beraksi dengan lebih tenang serta tidak terlalu memikirkan tekanan ketika berada di atas padang.
Mengulas persiapan menghadapi Vietnam, Alif berkata segala persiapan pasukan berjalan lancar dan beliau bersedia memikul tanggungjawab lebih besar sekiranya kembali diberikan kepercayaan oleh barisan kejurulatihan.
Malaysia dijadualkan menentang juara bertahan Vietnam dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala ASEAN 2026 pada Ahad ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebelum bertandang ke tempat lawan pada Rabu depan.