
SHAH ALAM, 11 Ogos – Kawalan keselamatan lebih ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai mendorong sindiket dadah antarabangsa menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang sebagai laluan alternatif untuk menyeludup keluar dadah ke pasaran Eropah.
- Polis merampas kira-kira 270 kilogram bunga ganja bernilai RM21.62 juta dalam Op Lejogaster.
- Serbuan di Bayan Lepas, Mantin dan Sepang membawa kepada penahanan sembilan suspek serta penyelamatan empat bakal keldai dadah.
- Sindiket dipercayai aktif sejak April, dikawal seorang warga Portugal; kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu terbongkar susulan kejayaan polis merampas kira-kira 270 kilogram bunga ganja bernilai RM21.62 juta menerusi Op Lejogaster.
“Operasi hasil risikan dan pemantauan berterusan JSJN Bukit Aman dari 12 Julai hingga 3 Ogos lalu itu turut membawa kepada penahanan sembilan suspek, termasuk lapan warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 51 tahun.
“Tiga serbuan dijalankan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, selain menyelamatkan empat warga asing yang dipercayai bakal dieksploitasi sebagai keldai dadah.
“Serbuan pertama pada 12 Julai di hadapan sebuah hotel di Bayan Lepas membawa kepada penahanan dua lelaki serta rampasan 31.7 kilogram bunga ganja yang disembunyikan dalam dua bagasi.
“Pemeriksaan susulan di sebuah rumah di kawasan sama menemukan 31 kilogram lagi bunga ganja dalam 60 bungkusan.
“Hasil risikan lanjut kemudian membawa kepada serbuan kedua pada 3 Ogos di sebuah rumah di Taman Bukit Citra, Mantin, Negeri Sembilan, yang menyaksikan seorang lelaki ditahan.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 10 bagasi mengandungi 170 bungkusan bunga ganja seberat 175.8 kilogram,” katanya pada sidang media mengenai kejayaan JSJN menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa, di Shah Alam hari ini.
Datuk Hussein berkata lima lagi lelaki warga asing kemudian ditahan di sekitar Sepang, Selangor, termasuk empat yang dipercayai bakal dijadikan keldai dadah.
“Pada hari sama, serbuan ketiga di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga asing serta rampasan 31.6 kilogram bunga ganja dalam dua bagasi.
“Secara keseluruhan, polis merampas kira-kira 270 kilogram bunga ganja serta sejumlah kecil methamphetamine, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM21.62 juta.
“Jumlah rampasan bunga ganja itu dianggarkan mampu memusnahkan sehingga 630,000 orang,” katanya.
Siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak April lalu dan mendapatkan bekalan bunga ganja dari negara jiran sebelum dibawa masuk ke Malaysia melalui sempadan negeri-negeri di utara Semenanjung.
Dadah terbabit kemudiannya disimpan sementara di beberapa rumah teres berhampiran lapangan terbang di Bayan Lepas dan Nilai sebelum diserahkan kepada keldai dadah untuk dibawa keluar melalui lapangan terbang antarabangsa.
Sindiket itu dipercayai didalangi seorang lelaki warga Portugal yang menyelaraskan kegiatan dari Eropah, termasuk membawa masuk individu ke Malaysia untuk dijadikan keldai dadah.
Daripada lapan warga asing yang ditahan, lima disyaki warga Portugal, seorang warga Myanmar dan dua warga Singapura.
Laluan yang digunakan kebanyakannya melalui Bayan Lepas dan KLIA, sama ada secara terus atau transit di Singapura sebelum menuju ke London untuk diserahkan kepada sindiket lain.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.