
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Keputusan Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan yang tinggi ketika prestasi kewangannya menunjukkan keadaan sebaliknya disifatkan sebagai satu ketidakpatuhan yang ketara terhadap Akta TH.
- RCI mendapati agihan sebelum 2018 tidak mencerminkan prestasi kewangan sebenar TH.
- Penyata kewangan dan penilaian aset digunakan untuk menunjukkan aset lebih tinggi daripada liabiliti, membolehkan agihan diumumkan.
- Sekiranya piawaian MFRS diguna pakai sepenuhnya, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi 2017.
- Penggunaan kaedah Realisable Asset Value sejak 2014 menyebabkan pembayaran agihan 2014 hingga 2017 tidak selaras dengan kehendak Akta TH.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati agihan keuntungan sebelum 2018 tidak mencerminkan prestasi kewangan sebenar TH.
Menurut beliau, RCI mendapati penyata kewangan dan penilaian aset telah digunakan bagi menunjukkan kedudukan aset lebih tinggi daripada liabiliti, sekali gus membolehkan agihan keuntungan diumumkan.
“Tindakan tersebut diambil semata-mata bagi membolehkan TH mengumumkan agihan keuntungan yang tinggi walaupun prestasi kewangan adalah sebaliknya dan TH tidak solven.
“Keputusan ini merupakan satu ketidakpatuhan yang ketara kerana TH mengagihkan keuntungan tinggi apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti berkembang, jelas melanggar Akta TH.
RCI turut mendapati, sekiranya piawaian MFRS diguna pakai sepenuhnya, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi 2017, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan.
Laporan itu turut menyatakan penggunaan kaedah ‘Realisable Asset Value’ (RAV) bermula pada 2014 bagi menentukan nilai aset, ketika liabiliti TH telah melebihi aset.
Menurut RCI, pembayaran agihan keuntungan dari 2014 hingga 2017 yang berpandukan kaedah berkenaan tidak selaras dengan kehendak Akta TH.