
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhasrat menggubal tiga akta baharu, selain meminda Akta Pengurusan Strata 2013 di bawah Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026–2035.
- Tiga akta baharu: Akta Pemaju Harta Tanah, Akta Pengurus Bangunan dan Akta Sewaan Kediaman.
- Akta Pemaju Harta Tanah perlu luaskan skop kepada hartanah komersial dan kini dalam peringkat akhir semakan.
- KPKT akan perkenal analitik data raya mula tahun depan untuk gabungkan data negeri, pihak berkuasa tempatan dan KPKT atasi ketidakpadanan pasaran.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata langkah itu bagi mewujudkan kerangka perundangan sektor perumahan yang lebih menyeluruh, progresif dan adil kepada semua pihak.
Tiga perundangan baharu itu ialah Akta Pemaju Harta Tanah, Akta Pengurus Bangunan dan Akta Sewaan Kediaman.
“Akta Pemaju Harta Tanah yang penting kerana skop Akta Pemajuan Perumahan ketika ini hanya tertumpu kepada sektor perumahan dan belum merangkumi hartanah komersial termasuk ruang kedai serta projek komersial.
“Justeru, akta baharu itu akan menyediakan kerangka perundangan yang lebih menyeluruh bagi menyokong pembangunan sektor hartanah negara,” katanya pada sidang media majlis peluncuran Dasar Perumahan Negara 2026–2035, di sini.
Beliau turut memaklumkan, penggubalan Akta Pemaju Harta Tanah kini berada pada peringkat akhir semakan.
Penggubalan Akta Pengurus Bangunan pula dicadangkan bagi memperkukuh aspek penyelenggaraan dan pengurusan hampir tiga juta unit hartanah strata yang merangkumi lebih 27,000 skim di seluruh negara.
Bagi penggubalan Akta Sewaan Kediaman, kerajaan mahu memastikan hak pemilik dan penyewa diseimbangkan serta kepentingan kedua-dua pihak dilindungi.
Pindaan Akta Pengurusan Strata 2013 pula akan dilaksanakan selaras peningkatan kadar urbanisasi negara yang kini mencecah 78 peratus dan dijangka meningkat kepada 85 peratus menjelang 2040.
Dalam pada itu, KPKT akan memperkenal analitik data raya mulai tahun depan bagi menangani ketidakpadanan antara penawaran perumahan dengan keperluan sebenar pasaran yang menjadi antara punca hartanah tidak terjual.
Sistem itu akan menggabungkan data kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan KPKT mengikut daerah serta lokaliti.
Ia bagi membantu pemain industri merancang jenis, lokasi dan harga perumahan yang lebih menepati permintaan pasaran.