RCI TH : Audit semula pelaksanaan syor, lapor secara terus

Laporan berkala pelaksanaan syor RCI bertujuan memulihkan keyakinan pendeposit dan orang ramai kepada TH

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Pelaksanaan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu disusuli audit semula serta laporan berkala yang telus dan berintegriti bertujuan memastikan setiap syor benar-benar dilaksana secara berkesan dan menyeluruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu penelitian lanjut terhadap pelaksanaan syor untuk pastikan isu kewangan, tadbir urus dan campur tangan politik tidak berulang.
  • Kebimbangan terhadap penyelesaian sukuk UJSB yang dibuat melalui penerbitan sukuk baru, bukan pemulihan aset tunai.
  • Laporan berkala dan tiada penglibatan ahli politik dalam jawatankuasa TH penting untuk memulihkan keyakinan pendeposit dan orang ramai.

Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa, Dr Mohd Zaidi Md Zabri berpendapat langkah itu penting bagi menilai secara terperinci pelaksanaan kira-kira 70 peratus syor RCI yang telah dilaksana.

“Walaupun perkembangan itu memberi petunjuk positif, penelitian lanjut perlu dilaksana kepada tindakan yang telah diambil bagi memastikan isu kewangan, tatakelola dan campur tangan kepentingan politik tidak berulang.

“Prestasi semasa TH turut menunjukkan peningkatan dengan pendapatan pelaburan mencecah RM4.64 bilion, manakala kadar agihan hibah sebanyak 7.5 peratus.

“Namun, perkara yang perlu diberi perhatian ialah penyelesaian bayaran balik sukuk oleh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) pada Mei lalu yang dilaksana menerusi penerbitan sukuk baharu, bukannya hasil pemulihan aset secara tunai,”katanya ketika dihubungi RTM.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi INCEIF University, Profesor Dr. Baharom Abdul Hamid pula berpandangan laporan berkala berhubung pelaksanaan syor RCI penting bagi memulihkan keyakinan pendeposit dan orang ramai kepada TH.

“Sebarang kehakisan keyakinan kepada institusi tunjang tabungan umat Islam itu boleh memberi kesan negatif yang luas.

“Justeru, langkah penambahbaikan tadbir urus seperti yang disyorkan termasuk memastikan tiada penglibatan ahli politik atau kepentingan politik dalam mana-mana jawatankuasa Tabung Haji amat penting untuk dilaksanakan.

“Langkah itu akan mengukuhkan semula keyakinan umat Islam di Malaysia, sekali gus mengekalkan kedudukan negara sebagai model rujukan global yang memiliki institusi seumpama ini,”katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.