
MELAKA, 10 Ogos – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh usaha membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Selatan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
- Program karnival menyediakan aktiviti interaktif untuk memberi pendedahan dan menyemai minat pelajar terhadap bidang STEM.
- MOSTI menyasarkan penyertaan seramai 15,000 peserta dari seluruh negara bagi MSN 2026.
- Program Advokasi Nuklear bertemakan Nuklear Untuk Rakyat meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai teknologi nuklear dan manfaatnya.
- Inisiatif ini bertujuan membentuk masyarakat celik sains serta melahirkan generasi muda berdaya saing sedia meneroka bidang STEM.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja menjadi platform mendekatkan masyarakat dengan bidang sains, malah turut meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Pelbagai aktiviti pembudayaan sains yang disediakan sepanjang karnival itu dapat memberi pendedahan secara interaktif kepada golongan pelajar, sekali gus menyemai minat mereka untuk menceburi bidang berkaitan STEM.
“Bagi 2026, MOSTI menyasarkan penyertaan seramai 15,000 orang dari seluruh negara menerusi pelbagai program dan aktiviti sempena MSN 2026,” katanya selepas Majlis Peluncuran Karnival Minggu Sains Negara Zon Selatan di Dewan Canselor UTEM
di sini.
Karnival MSN 2026 Zon Selatan turut mengetengahkan Program Advokasi Nuklear bertemakan “Nuklear Untuk Rakyat” bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai teknologi nuklear serta manfaatnya dalam kehidupan seharian.
Program berkenaan turut menjadi wadah untuk memberi penerangan berasaskan fakta mengenai penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab, selain merungkai persepsi serta salah faham masyarakat terhadap bidang berkenaan.
Penganjuran MSN 2026 diharap terus menjadi pemangkin kepada usaha membentuk masyarakat yang celik sains dan teknologi, selain melahirkan generasi muda yang berdaya saing serta bersedia meneroka bidang STEM selaras dengan keperluan masa hadapan.