Piala ASEAN 2026: Semangat berpasukan kunci Harimau Malaya ke separuh akhir

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Semangat berpasukan menjadi antara kunci kejayaan Harimau Malaya melakar kemenangan 1-0 ke atas Filipina sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala ASEAN 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe akui persiapan kurang lancar, keinginan, kepercayaan pemain dan tunjuk ajar jurulatih membantu pasukan.
  • Pavithran Gunalan menjaringkan gol tunggal dan dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan.
  • Pasukan beralih fokus kepada pemulihan dan latihan intensif sebagai persiapan menentang Vietnam pada 16 Ogos.

Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, semangat yang ditunjukkan pemain serta barisan pengurusan membuktikan kesediaan skuad negara untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

“Memang dari awal lagi kita tahu persiapan pasukan kurang dan perjalanan kami juga kurang lancar. Tetapi dengan keinginan pemain sendiri, kepercayaan antara satu sama lain sebagai sebuah pasukan dan tunjuk ajar berterusan daripada barisan jurulatih, kami berjaya melangkah ke separuh akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Gol tunggal Pavithran Gunalan memastikan kemenangan Harimau Malaya, sekali gus menyaksikan pemain sayap itu dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Pavithran berkata fokus pasukan kini beralih kepada persiapan menghadapi Vietnam pada aksi separuh akhir.

“Selepas ini, kami perlu fokus kepada perlawanan menentang Vietnam dan memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik serta menjalani latihan seperti biasa sebagai persiapan menghadapi perlawanan berkenaan,” katanya.

Malaysia mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2026 bersama Thailand dan dijadualkan berdepan Vietnam pada 16 Ogos ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.