
KUALA LUMPUR 8 Ogos – Gelaran beregu lelaki Masters Korea 2026 kini hampir pasti menjadi milik Malaysia apabila dua gandingan negara, Man Wei Chong- Soh Wooi Yik dan Tee Kai Wun-Yap Roy King, menempah tiket ke final di Asan, esok.
- Man Wei Chong dan Soh Wooi Yik menang tiga set ke atas pasangan Jepun Kawabe-Matsukawa.
- Mereka tewas set pertama 18-21, menang set kedua 22-20 dan menamatkan perlawanan 21-18.
- Tee Kai Wun dan Yap Roy King ke final menerusi kemenangan tanpa bertanding selepas Sawada-Tanioka menarik diri.
- Pertembungan sesama sendiri berpotensi menjamin kejuaraan beregu lelaki Malaysia dan menjadi medan nilaian untuk jurulatih Herry Iman Pierngadi.
Gandingan baharu negara, Wei Chong-Wooi Yik terpaksa bekerja keras dalam pertarungan tiga set sebelum berjaya mengalahkan pasangan Jepun, Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa untuk mara ke final.
Wei Chong-Wooi Yik bermula kurang baik apabila tewas set pertama 18-21 namun pasangan negara bangkit memberikan tentangan sengit untuk memenangi set kedua 22-20.
Gandingan negara kembali tenang dalam set penentuan apabila memastikan kemenangan 21-18 untuk melengkapkan kemenangan selepas pertarungan sengit tersebut.
Lebih menarik, Kai Wun-Roy King mendapat laluan percuma ke pentas final selepas pasangan Jepun, Shuji Sawada-Daigo Tanioka, memberikan kemenangan tanpa bertanding pada aksi separuh akhir, hari ini.
Keputusan itu membuka peluang buat Malaysia mencipta pertembungan sesama sendiri di final, sekali gus memastikan kejuaraan beregu lelaki menjadi milik negara.
Kemaraan kedua-dua pasangan negara itu sekali gus menjadikan pentas final Masters Korea sebagai medan terbaik untuk menilai perkembangan kombinasi baharu yang sedang diberi peluang oleh ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi.