Dewan Waghih N. Sembilan terus jadi platform gilap kepimpinan belia

Logo DWNS

SEREMBAN, 8 Ogos – Persidangan Dewan Waghih Negeri Sembilan (DWNS) terus menjadi platform pembangunan kepimpinan dan advokasi belia dengan mensimulasikan struktur serta proses legislatif di peringkat negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • 36 ahli DWNS 2026 akan membentangkan usul bagi pihak kawasan DUN, membawa suara akar umbi ke peringkat lebih tinggi.
  • Proses saringan dan temu duga memastikan pemilihan pemimpin komited, bukannya peserta yang sekadar mahu sijil atau nama.
  • DWNS diperkenal 2023 di bawah Yayasan Negeri Sembilan; persidangan dua sesi setahun, setiap ahli mewakili DUN bagi satu penggal.

Inisiatif itu bertujuan melatih anak muda lebih peka terhadap isu masyarakat, memahami peranan institusi kerajaan serta mengemukakan pandangan secara berhemah dan berasaskan data dalam pembentukan dasar.

Speaker DWNS, Hanief Erza Eri Iswandi berkata, seramai 36 ahli dewan yang terpilih bagi DWNS 2026 akan membentangkan usul bagi pihak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, sekali gus membawa suara akar umbi ke peringkat lebih tinggi.

“Kita buat proses saringan dan temu duga. Kita tidak mahu memilih ahli dewan yang sekadar mahu sijil atau nama, tetapi memerlukan pemimpin yang boleh menjalankan tanggungjawab sebaiknya,” katanya.

Beliau menyatakannya ketika berucap pada persidangan pertama DWNS 2026 di sini.

Sementara itu, salah seorang ahli DWNS 2026, Muhammad Hakim Mohd Zain berharap persidangan berkenaan dapat memupuk bakat serta melahirkan pemimpin muda yang lebih matang.

“Saya harap dengan adanya persidangan dewan ini, ia dapat melahirkan pemimpin yang boleh membawa suara di peringkat DUN dengan jiwa dan rasional dalam kepimpinan,” katanya.

Persidangan pertama DWNS 2026 berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Dewan Sri Seremban.

DWNS mula diperkenal pada 2023 sebagai inisiatif strategik memperkasa penglibatan belia dalam pembangunan negeri dan beroperasi di bawah naungan Yayasan Negeri Sembilan selaku badan penyelaras utama.

Persidangan DWNS akan dilaksanakan sebanyak dua sesi setiap tahun, manakala setiap ahli yang dilantik akan mewakili kawasan DUN masing-masing bagi satu penggal.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.