SME Corp peruntuk RM1.5 juta perkasa kepimpinan 90 PMKS

Peserta Program Next Level CEO SME Corp

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – SME Corporation Malaysia (SME Corp) memperuntukkan RM1.5 juta menerusi Program Next Level CEO bagi memperkukuh keupayaan kepimpinan pengurusan kanan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berpotensi berkembang menjadi syarikat bernilai tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasar 90 ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pengasas PMKS untuk meningkatkan prestasi dan sumbangan ekonomi.
  • Melahirkan pemimpin berwawasan, berani melakukan perubahan dan mampu mendorong pertumbuhan serta produktiviti syarikat.
  • Lengkapkan pemimpin PMKS dengan pengetahuan strategik, kemahiran kepimpinan, pemikiran inovatif dan perspektif global.
  • Tawarkan pembelajaran eksekutif, bimbingan, pementoran dan Penarafan Daya Saing PKS (SCORE) melalui rakan pelaksana khusus.

Program itu menyasarkan penyertaan 90 ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pengasas PMKS bagi membantu meningkatkan prestasi syarikat, sekali gus memperkukuh sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata, Malaysia memerlukan lebih banyak PMKS yang bukan sahaja berdaya tahan, malah berupaya berkembang menjadi syarikat bernilai tinggi dan berdaya saing di peringkat global, selaras dengan agenda penskalaan PMKS.

“Program Next Level CEO merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan kepimpinan kerana transformasi organisasi bermula daripada pemimpin yang mempunyai visi, keberanian membuat perubahan serta keupayaan meneroka peluang baharu.

“Melalui program ini, kami berharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin industri yang mampu memacu pertumbuhan syarikat, meningkatkan produktiviti serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, program berkenaan dibangunkan bagi melengkapkan pemimpin PMKS dengan pengetahuan strategik, kemahiran kepimpinan, pemikiran inovatif dan perspektif global bagi menghadapi cabaran perniagaan.

Katanya, pendekatan itu diharap dapat membantu peserta memacu transformasi organisasi, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing syarikat masing-masing.

“Antara inisiatif yang ditawarkan termasuk pembelajaran peringkat eksekutif menerusi gabungan sesi latihan, bimbingan khusus, pementoran serta pendedahan kepada amalan terbaik industri,” katanya.

Dalam pelaksanaan program itu, SME Corp melantik tiga rakan pelaksana iaitu Heriot-Watt University Malaysia Sdn Bhd, ASB Management Sdn Bhd dan Efficient Frontier Consulting Sdn Bhd.

Ketiga-tiga rakan pelaksana berkenaan bertanggungjawab membangunkan modul kursus, mengendalikan latihan dan sesi bimbingan, melaksanakan Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE) serta memantau impak pelaksanaan program.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.