Jaringan usahawan Selangor lepasi sasaran, cecah 102,466 pengusaha

Foto FB Amirudin Shari

PETALING JAYA, 8 Ogos – Jaringan usahawan di bawah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor kini mencecah 102,466 pengusaha, sekali gus melepasi sasaran 100,000 yang ditetapkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PLATS diperkuat untuk bantu usahawan mikro melalui pendigitalan, pembiayaan dan jaringan strategik.
  • Pembangunan usahawan perlu lebih daripada bantuan kewangan; perlukan inovasi, teknologi dan kesediaan meneroka pasaran baharu.
  • Peralihan daripada usahawan mikro ke PKS dan seterusnya memerlukan fokus, analisis data, pemahaman pasaran dan sokongan kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencapaian itu perlu disusuli dengan usaha memperkukuh jaringan berkenaan supaya usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat saling menyokong serta merebut peluang daripada pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, Platform Selangor (PLATS) terus diperkasa sebagai antara inisiatif kerajaan negeri bagi membantu usahawan mikro mengembangkan perniagaan menerusi pendigitalan, pembiayaan dan jaringan strategik.

“PLATS juga menjadi pusat bimbingan pembangunan usahawan dan melalui kerjasama dengan rakan strategik seperti Agrobank serta beberapa institusi lain serta turut membantu dari segi pembiayaan usahawan.

“Pembangunan usahawan tidak terhenti dengan bantuan modal, dana Usahawan Madani atau bantuan peralatan semata-mata. Usahawan memerlukan kesungguhan, inovasi, kesediaan untuk berubah dan merebut peluang bagi menjayakan perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Anugerah Platform Selangor (PLATS) 2026 di Petaling Jaya, malam tadi.

Beliau berkata, PLATS yang diwujudkan ketika pandemik COVID-19 bagi membantu usahawan kecil berniaga secara dalam talian, kini berkembang menjadi platform pembangunan perusahaan yang membantu usahawan menghadapi perubahan teknologi dan pasaran.

Katanya, pembangunan usahawan tidak boleh bergantung kepada bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan inovasi, teknologi dan kesediaan meneroka pasaran baharu.

Datuk Seri Amirudin berkata, usahawan mikro berpotensi berkembang menjadi usahawan PKS atau perusahaan, sebelum mencapai tahap sebagai usahawan yang lebih mampan.

Bagaimanapun, katanya, proses untuk bergerak dari satu tahap ke tahap seterusnya bukan mudah kerana memerlukan fokus, penelitian, pemahaman terhadap data dan perkembangan pasaran serta sokongan kerajaan negeri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.