
MELAKA, 7 Ogos- Proses kenaikan pangkat pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal dipermudah serta dipercepatkan.
- Perkara dipersetujui secara prinsip agar ia selari dengan skim perkhidmatan awam lain.
- Perdana Menteri meminta KSN dan KPPA meneliti perkara serta memberi ruang untuk penambahbaikan.
- Pengumuman lanjut dijangka dibuat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam bulan hadapan.
- Kebanyakan pengumuman berkaitan ATM dan perkhidmatan awam dijangka dibuat sempena Ambang Merdeka pada 30 Ogos.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dipersetujui secara prinsip agar ia selari dengan skim perkhidmatan awam lain.
“Saya telah meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) meneliti perkara ini dan memberi ruang penambahbaikan.
“Pengumuman lanjut mengenai perkara itu dijangka dibuat dalam masa terdekat sama ada pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam bulan hadapan atau sempena sambutan Ambang Merdeka,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Terendak, di sini hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar, kebanyakan pengumuman yang melibatkan ATM serta perkhidmatan awam dijangka dibuat pada sambutan Ambang Merdeka, 30 Ogos ini.