AGC perjelas penarikan balik pertuduhan terhadap Nicky Liow

26 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Liow Soon Hee atau Nicky Liow ditarik balik

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan keputusan penarikan balik 26 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Liow Soon Hee atau Nicky Liow dibuat mengikut peruntukan undang-undang dan selepas kompaun berjumlah RM10 juta dijelaskan sepenuhnya pada 29 Mei 2023.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan tarik balik dibuat selaras kuasa dan budi bicara Peguam Negara serta undang-undang berkaitan.
  • Keputusan berdasarkan keseluruhan keterangan siasatan, dilaksanakan tanpa pengaruh tekanan luar, menjaga integriti proses pendakwaan.
  • Nicky didakwa 26 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 Akta 613 pada 12 April 2022.
  • Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 15 Jun 2023 memerintahkan Nicky dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Menurut kenyataan dikeluarkan AGC, keputusan itu dibuat selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan.

“Keputusan tersebut dibuat berdasarkan keseluruhan keterangan hasil siasatan dan dilaksanakan tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam, dengan mengambil kira integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah.

“Nicky Liow didakwa atas 26 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 April 2022,” menurut kenyataan itu.

Kes itu kemudian ditetapkan untuk perbicaraan pada beberapa tarikh antara Julai hingga September 2023.

Peguam yang mewakili Nicky Liow mengemukakan surat representasi bertarikh 15 Disember 2022 dan 6 April 2023 bagi memohon supaya kesemua 26 pertuduhan dikenakan kompaun bawah Seksyen 92 Akta 613.

Selepas meneliti keseluruhan keterangan sedia ada serta membuat penilaian pendakwaan, AGC bersetuju menawarkan kompaun berjumlah RM10 juta.

Tawaran itu dipersetujui oleh Nicky Liow dan dijelaskan sepenuhnya pada 29 Mei 2023.

Selain pembayaran kompaun tersebut, penyelesaian itu turut merangkumi pelucuthakan bon berjumlah RM647,366 serta pelucuthakan harta yang telah disita.

Susulan pembayaran kompaun berkenaan, AGC menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Nicky Liow selaras dengan peruntukan Seksyen 92 Akta 613.

Pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan Nicky Liow dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.