
KOTA KINABALU, 7 Ogos – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya merampas 12 kontena mengandungi daging beku dalam Op Ribat Sepanggar di Pelabuhan Sepanggar, di sini yang dilancarkan sejak 19 Mei 2026 lalu.
- Rampasan ayam dan daging babi beku dari China dan Hong Kong seberat 348,000 kg bernilai kira-kira RM3.4 juta.
- Dimasukkan melalui pengisytiharan tidak selaras dan melanggar larangan negeri terhadap makanan beku dari negara berkenaan.
- Disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967; jika sabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara.
Ketua Pengarah AKPS Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kontena berkenaan mengandungi ayam dan daging babi sejuk beku dari China dan Hong Kong seberat 348,000 kilogram serta bernilai kira-kira RM3.4 juta dirampas.
Tindakan itu selepas didapati ia dibawa masuk ke Sabah melalui pengisytiharan yang tidak selaras serta larangan kemasukkan makanan beku dari negara itu oleh kerajaan negeri Sabah.
Pemeriksaan dilakukan selepas tempoh 30 hari pada 16 Julai 2026 yang diberikan kepada pemilik untuk membuat pengisytiharan tamat tanpa sebarang deklarasi dikemukakan.
“Kesemua kes ini disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967, iaitu berkaitan kegagalan membuat akuan penuh dan benar serta membuat perakuan atau dokumen yang tidak benar dalam perkara material.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media di Gudang Pelabuhan Sepanggar di sini.
Op Ribat Sepanggar itu adalah hasil kerjasama daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan
Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) dan Pihak Berkuasa Pelabuhan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa AKPS berjaya menahan hampir 40 kontena dengan nilai rampasan keseluruhan hampir RM6.7 juta sejak April lalu sehingga hari ini hasil usaha bersama agensi Persekutuan dan negeri.
AKPS akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab termasuk kemungkinan mengaitkan ejen penghantaran bagi membolehkan tindakan pendakwaan diambil terhadap pihak terlibat.