
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Malaysia Aviation Group (MAG) mewajibkan saringan dadah terhadap semua juruterbang di bawah syarikat penerbangannya bagi memperkukuh keselamatan operasi dan memastikan kecergasan kru untuk bertugas.
- Fasa pertama saringan melibatkan 1,260 juruterbang Malaysia Airlines, dijangka selesai menjelang 15 Ogos.
- Juruterbang yang gagal melengkapkan saringan tidak dibenarkan mengendalikan penerbangan sehingga disahkan layak.
- Saringan wajib berkala akan melengkapkan program saringan rawak sedia ada dan akan diperluas kepada kru kabin aktif.
- Semua juruterbang diwajibkan melengkapkan penilaian IMSAFER sebelum setiap penerbangan termasuk aspek kesihatan, ubat, alkohol, keletihan dan emosi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, fasa pertama pelaksanaan itu membabitkan 1,260 juruterbang Malaysia Airlines dan dijangka selesai menjelang 15 Ogos ini.
Langkah berkenaan diambil susulan penahanan seorang juruterbangnya baru-baru ini, selaras dengan pendirian toleransi sifar MAG terhadap sebarang bentuk salah laku.
“Mana-mana juruterbang yang gagal melengkapkan saringan dalam tempoh ditetapkan tidak akan dibenarkan mengendalikan penerbangan sehingga disahkan layak mengikut prosedur syarikat serta keperluan pengawal selia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, saringan wajib secara berkala itu akan melengkapi program saringan rawak sedia ada sebelum diperluaskan kepada kru kabin aktif.
Semua juruterbang operasi turut diwajibkan melengkapkan penilaian IMSAFER sebelum setiap penerbangan bagi menentukan tahap kesiapsiagaan fizikal dan mental untuk bertugas.
“Penilaian kendiri itu merangkumi aspek penyakit, pengambilan ubat, tekanan, alkohol, keletihan, emosi dan tempoh sejak penerbangan terakhir,” jelasnya.
MAG turut komited bekerjasama dengan pihak berkuasa penerbangan, agensi penguat kuasa dan badan kawal selia bagi memperkukuh langkah pencegahan serta memastikan pematuhan terhadap semua keperluan keselamatan.