
BANGKOK, 7 Ogos – Thailand meminta Duta Besar China memainkan peranan meredakan ketegangan susulan insiden kekecohan melibatkan sekumpulan peminat dari China di Lapangan Terbang Suvarnabhumi yang tular di media sosial.
- Rakaman keselamatan menunjukkan sekumpulan peminat mengerumuni selebriti semasa penerbangan dari Bangkok ke Beijing.
- Semua 22 anggota kumpulan itu dihalang menaiki pesawat kerana melanggar prosedur keselamatan dan peraturan syarikat penerbangan.
- Lapangan terbang memohon maaf, siasat tindakan pegawai keselamatan dan insiden mencetuskan perbincangan mengenai kepatuhan keselamatan serta tingkah laku peminat.
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow berkata, beliau telah meminta wakil diplomatik China supaya menasihati rakyatnya agar mematuhi peraturan keselamatan lapangan terbang dan tidak mencetuskan salah faham antara kedua-dua negara.
“Duta China mempunyai tanggungjawab untuk memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan persefahaman antara rakyat kedua-dua negara, bukannya memperbesarkan sentimen negatif susulan isu berkenaan,” katanya.
Insiden berkenaan berlaku pada penghujung Julai apabila rakaman kamera keselamatan Lapangan Terbang Suvarnabhumi menunjukkan sekumpulan penumpang mengerumuni selebriti ketika menaiki penerbangan dari Bangkok ke Beijing.
Kesemua 22 anggota kumpulan peminat itu yang menaiki penerbangan sama kemudiannya tidak dibenarkan menaiki pesawat selepas didapati melanggar prosedur keselamatan lapangan terbang serta peraturan syarikat penerbangan.
Pihak lapangan terbang memaklumkan, keputusan itu dibuat oleh Thai Airways selepas kumpulan berkenaan dilihat berpotensi menyebabkan gangguan berterusan sepanjang penerbangan.
Dalam perkembangan sama, pihak lapangan terbang turut memohon maaf berhubung insiden pertelingkahan ringkas ketika kumpulan terbabit dibawa semula ke kawasan menunggu, selain mengesahkan tindakan disiplin telah diambil terhadap pegawai keselamatan yang didakwa menggunakan tindakan berlebihan.
Insiden itu mencetuskan perhatian ramai selepas video kejadian tersebar luas, sekali gus menimbulkan perbincangan mengenai kepentingan pematuhan prosedur keselamatan serta tingkah laku peminat ketika berinteraksi dengan selebriti di tempat awam.-REUTERS