Dua wilayah di timur China siap siaga hadapi taufan Dolphin

Foto REUTERS

HANGZHOU/FUZHOU, 6 Ogos – Pihak berkuasa di wilayah Zhejiang dan Fujian di timur China mengaktifkan respons kecemasan taufan Tahap Empat pada petang Khamis susulan Taufan Dolphin, taufan ke-13 bagi tahun ini, yang sedang bergerak menuju ke pantai timur negara itu, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat taufan berada kira-kira 1,260 km di timur Wenzhou; angin sehingga Kekuatan 14; bergerak ke barat laut 15-20 km/j.
  • Angin di Laut China Timur dijangka bertambah kuat Khamis malam, capai Kekuatan 10-13 pada Jumaat dan Sabtu; beberapa kawasan 14-16.
  • Di Zhejiang, 193 projek luar pesisir digantung, 474 kapal dibawa ke tempat selamat, lebih 10,000 penduduk pulau dipindahkan.
  • Taufan dijangka mendarat antara muara Sungai Yangtze dan utara Fujian pada Ahad; hujan 100-300 mm, pihak berkuasa diminta memantau.

Wilayah Zhejiang meningkatkan respons kecemasan maritim kepada Tahap Empat  dan menggesa pihak berkuasa tempatan supaya memantau rapat perkembangan taufan itu serta melaksanakan semua langkah berjaga-jaga yang ditetapkan.

Menurut Balai Cerap Meteorologi Wilayah Zhejiang, pada Khamis, pusat Taufan Dolphin berada di lautan kira-kira 1,260 kilometer di timur bandar Wenzhou di Zhejiang, dengan kelajuan angin sehingga Kekuatan 14 berhampiran pusatnya. Taufan itu dijangka bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 15 hingga 20 kilometer sejam.

Balai cerap itu memaklumkan bahawa angin di Laut China Timur dijangka bertambah kuat mulai Khamis malam dan mencapai Kekuatan 10 hingga 13 pada Jumaat dan Sabtu, manakala beberapa kawasan mungkin mengalami angin berkekuatan 14 hingga 16.

Sehingga 8 malam Rabu, kesemua 193 projek pembinaan luar pesisir di Zhejiang telah digantung, manakala 474 kapal pembinaan diarahkan berlabuh di lokasi yang selamat. Pihak berkuasa maritim tempatan turut membantu kerajaan tempatan memindahkan lebih 10,000 penduduk dari pulau-pulau terpencil.

Sementara itu, wilayah jiran Fujian turut mengaktifkan respons kecemasan taufan Tahap Empat pada 2 petang Khamis. Menurut Balai Cerap Meteorologi Wilayah Fujian, Taufan Dolphin dijangka mendarat di kawasan antara muara Sungai Yangtze dan utara Fujian pada Ahad.

Dari Ahad hingga Rabu, hujan lebat hingga sangat lebat dijangka melanda sebahagian besar Fujian, terutamanya di kawasan tengah dan utara, dengan jumlah taburan hujan antara 100 hingga 200 milimeter (mm), manakala beberapa kawasan dijangka menerima sehingga 300 mm hujan.

Pihak berkuasa kawalan banjir Wilayah Fujian menggesa pihak berkuasa di kawasan pesisir pantai dan jabatan berkaitan supaya memantau rapat pergerakan taufan itu, meningkatkan penilaian risiko, mengaktifkan respons kecemasan tepat pada masanya serta melaksanakan semua langkah berjaga-jaga yang diperlukan – BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.