
KOTA KINABALU, 6 Ogos – Tiga anggota polis maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort, petang tadi.
- Pesuruhjaya Polis Sabah mengesahkan kejadian; mangsa berusia antara 26 hingga 40 tahun.
- Kes dalam siasatan dan pihak berkuasa menunggu laporan bedah siasat.
- Ahli keluarga dimaklumkan; JBPM menerima panggilan kecemasan 5.50 petang, BBP Beaufort dikejarkan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi RTM mengesahkan kejadian berkenaan, memaklumkan ketiga-tiga anggota berkenaan berusia dalam lingkungan 26 hingga 40 tahun.
“Kes dalam siasatan dan kami masih menunggu proses laporan bedah siasat.
“Ahli keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan takziah kepada seluruh ahli keluarga,”katanya.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 5.50 petang dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bersama sebuah jentera ke lokasi.
Sementara itu, Sabah Electricity (SE) mengesahkan berlaku insiden renjatan elektrik di lokasi berkenaan.
“Pasukan teknikal telah digerakkan ke lokasi selepas menerima makluman mengenai insiden bagi memastikan kawasan berkenaan selamat.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa hingga siasatan selesai serta mengambil tindakan sewajarnya,”kata kenyataan SE.
Kenyataan sama turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh warga PDRM.