Elak buli meragut hak pendidikan murid OKU

Gambar hiasan/Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Remaja OKU 17 tahun berhenti sekolah selepas ejekan berulang, trauma dan hilang keyakinan.
  • Seksyen 28 Akta Orang Kurang Upaya 2008 wujud tetapi semangatnya gagal direalisasi akibat budaya buli dan diskriminasi.
  • Tanggungjawab membanteras buli perlu dipikul bersama ibu bapa, guru, kerajaan dan masyarakat, pendidikan empati wajib diperkukuh.
  • Sekolah mesti amalkan dasar sifar toleransi, siasat aduan telus, beri sokongan psikologi dan jalankan program pemulihan kepada pelaku.

Pendidikan merupakan hak asasi setiap anak tanpa mengira jantina, bangsa, agama, latar belakang keluarga mahupun tahap kesihatan mereka.

Setiap kanak-kanak berhak menikmati peluang pendidikan yang sama dalam suasana yang selamat, inklusif dan bebas daripada sebarang bentuk diskriminasi.

Justeru, kisah seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 17 tahun yang menghidap Spina Bifida terpaksa berhenti sekolah selepas menjadi mangsa ejekan dan buli berulang kali amat menyentuh hati.

Lebih memilukan apabila beliau dipanggil dengan gelaran seperti “cacat”, “makhluk asing” dan “anak yatim”, sehingga mengalami trauma, hilang keyakinan diri dan akhirnya enggan kembali ke sekolah sejak tahun lalu.

Insiden seperti ini jelas menafikan haknya untuk mendapatkan pendidikan dalam suasana yang selamat dan bermaruah.

Hak pendidikan murid OKU sebenarnya telah diperuntukkan dengan jelas di bawah Seksyen 28 Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).

Namun, semangat Akta 685 tidak akan dapat direalisasikan sekiranya murid OKU masih berdepan budaya buli, penghinaan dan diskriminasi di sekolah.

Laluan kerusi roda, tandas mesra OKU atau kemudahan fizikal yang lengkap tidak lagi bermakna sekiranya seorang murid hidup dalam ketakutan untuk hadir ke sekolah.

Hak pendidikan bukan sekadar hak untuk mendaftar di sekolah, tetapi hak untuk belajar dalam suasana yang selamat, dihormati dan diterima tanpa diskriminasi.

Hakikatnya, kecacatan fizikal bukanlah penghalang untuk seseorang berjaya dalam pelajaran.

Ramai individu OKU telah membuktikan bahawa mereka mampu mencipta kejayaan dalam bidang akademik, profesional, sukan, seni dan keusahawanan apabila diberi peluang yang sama.

Sebaliknya, sikap prejudis, ejekan dan layanan diskriminasi menjadi halangan sebenar yang meragut hak pendidikan mereka.

Buli terhadap murid OKU bukan sekadar meninggalkan kesan emosi, malah boleh mengubah keseluruhan perjalanan hidup mereka.

Rasa malu, rendah diri dan trauma yang berpanjangan boleh menyebabkan mereka mengasingkan diri, hilang motivasi untuk belajar dan akhirnya tercicir daripada sistem pendidikan.

Persoalannya, mengapa perkara seperti ini masih berlaku? Antara puncanya ialah kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepelbagaian keupayaan manusia.

Masih ada yang menganggap kecacatan sebagai kelemahan atau bahan gurauan, sedangkan setiap individu berhak dihormati tanpa mengira keadaan fizikal mereka.

Oleh sebab itu, usaha membanteras buli terhadap murid OKU tidak boleh dipikul oleh sekolah semata-mata. Ia merupakan tanggungjawab bersama yang melibatkan ibu bapa, guru, kerajaan, masyarakat dan seluruh ekosistem pendidikan.

Peranan ibu bapa merupakan asas yang paling penting dalam membentuk keperibadian anak-anak.

Nilai empati, hormat-menghormati dan kasih sayang perlu dipupuk sejak kecil supaya anak-anak memahami bahawa setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan yang perlu dihargai.

Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak bahawa menjadikan kecacatan seseorang sebagai bahan jenaka bukanlah satu gurauan, sebaliknya satu bentuk buli yang boleh meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa.

Mereka juga perlu menjadi teladan dengan menunjukkan sikap menghormati golongan OKU dalam kehidupan seharian.

Selain itu, ibu bapa perlu sentiasa berbincang dengan anak-anak mengenai pengalaman mereka di sekolah dan menegur dengan segera sekiranya mendapati anak terlibat sebagai pembuli atau menjadi pemerhati yang membiarkan buli berlaku tanpa bertindak.

Di sekolah pula, guru boleh memainkan peranan yang amat besar dalam membentuk budaya yang inklusif. Ironinya, guru bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu, malah menjadi pembimbing yang membentuk karakter murid.

Misalnya, guru perlu peka terhadap perubahan tingkah laku murid, mengenal pasti tanda-tanda awal buli dan bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Pihak sekolah pula perlu terus tegas mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang bentuk buli.

Setiap aduan perlu disiasat secara telus, mangsa diberi perlindungan dan sokongan psikologi, manakala pelaku dikenakan tindakan yang bersesuaian serta mengikuti program pemulihan.

Pihak kerajaan juga perlu terus memperkukuh agenda pendidikan inklusif secara menyeluruh. Pendidikan inklusif tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penyediaan kemudahan fizikal seperti laluan kerusi roda, tandas mesra OKU atau akses bangunan.

Lebih penting ialah membina budaya sekolah yang benar-benar menerima, menghormati dan melindungi murid berkeperluan khas.

Selain itu, pendidikan mengenai nilai empati, kepelbagaian dan penghormatan terhadap hak orang lain perlu diterapkan secara lebih sistematik melalui kurikulum, kokurikulum dan program pembangunan sahsiah.

Kesedaran seperti ini tidak boleh dibentuk melalui ceramah bermusim, sebaliknya perlu menjadi budaya yang dihidupkan setiap hari dalam kehidupan seharian di sekolah.

Pada masa sama kita juga berharap agar semua murid yang menjadi mangsa buli atau rakan mereka yang mengetahui sebarang maklumat menggunakan saluran peti aduan berkunci yang disediakan di setiap sekolah untuk membuat aduan tentang isu kritikal ini.

Harus diingat, tindakan kita berdiam diri akan menyebabkan lebih ramai lagi akan menjadi mangsa keadaan.

Tuntasnya, kemajuan sebenar sesebuah negara bukan sekadar diukur melalui bangunan pencakar langit atau kecanggihan teknologi, tetapi melalui cara kita melayan golongan yang paling memerlukan perlindungan.

Hakikatnya, setiap murid OKU yang berjaya menamatkan persekolahan merupakan satu kemenangan buat negara.

Marilah kita membina ekosistem sekolah yang benar-benar inklusif, penuh kasih sayang dan menghormati maruah setiap insan.

Hanya dengan itu, setiap anak Malaysia, tanpa mengira keupayaan fizikal atau kelainan yang dimiliki, akan terus melangkah ke sekolah dengan penuh yakin dan berpeluang membina masa depan yang lebih cerah.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: nmohd77@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.