
NEW DELHI, 6 Ogos – Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, berikrar pulang ke negaranya pada Disember ini walaupun berdepan kemungkinan ditahan dan dipenjarakan.
- Hasina berkata tanggungjawab terhadap rakyat tidak boleh ditentukan oleh ketakutan; dia tidak boleh menjauh apabila rakyat menderita.
- Kerajaan Bangladesh memberi jaminan beliau akan diberi proses undang-undang sewajarnya jika kembali.
- Mahkamah Dhaka mensabitkan beliau atas jenayah terhadap kemanusiaan, hukuman mati dijatuhkan; Bangladesh memohon ekstradisi, India sedang menelitinya.
Hasina, 78 tahun, berkata tanggungjawab terhadap rakyat tidak boleh ditentukan oleh ketakutan.
“Saya mungkin ditahan, saya mungkin dihantar ke penjara. Namun, ketakutan tidak boleh menentukan tanggungjawab saya kepada rakyat.
“Saya tidak boleh terus menjauh ketika rakyat yang saya kasihi sedang menderita,” katanya.
Kenyataan itu selari hasrat disuarakannya sebelum ini untuk pulang sebelum akhir tahun meskipun menyedari risiko terhadap keselamatan dan kebebasannya.
Kerajaan Bangladesh bagaimanapun memberi jaminan beliau akan diberikan proses undang-undang sewajarnya dalam semua kes yang dihadapinya sekiranya kembali.
Ikrar Hasina mencetuskan kemarahan di Dhaka apabila penunjuk perasaan membakar patung menyerupainya, manakala Kementerian Luar Bangladesh menyifatkan ucapan itu sebagai menjejaskan usaha memulihkan hubungan dua hala.
Kementerian berkenaan menegaskan Hasina tidak mempunyai tempat dalam sistem politik Bangladesh selepas disabitkan kesalahan.
Pemerintahan Hasina tumbang pada 5 Ogos 2024 susulan kebangkitan yang diterajui golongan pelajar.
Hasina melarikan diri ke India dengan menaiki helikopter ketika orang ramai menyerbu kediaman rasminya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sehingga 1,400 orang terbunuh dalam tindakan keras ketika beliau cuba mempertahankan kuasa.
Pada November 2025, sebuah mahkamah di Dhaka mensabitkan Hasina atas jenayah terhadap kemanusiaan dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya.
Bangladesh telah mengemukakan permohonan rasmi kepada India untuk mengekstradisinya, namun New Delhi memaklumkan perkara itu masih dalam penelitian.