
IPOH, 5 Ogos- Kerajaan Negeri Perak sedang mempertimbangkan pemberian insentif kepada dua atlet negeri itu yang berjaya meraih pingat perak pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
- Kadar insentif akan ditentukan selepas mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, mengambil kira tahap pencapaian temasya yang disertai.
- Dua atlet boling padang, Izzat Shameer Dzulkeple dan Aleena Ahmad Nawawi, masing-masing meraih pingat perak di Sukan Komanwel Glasgow 2026.
- Kerajaan negeri menyediakan insentif SUKMA 2026: individu emas RM6,000; perak RM3,000; gangsa RM1,500.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata pemberian itu sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan atlet terbabit mengharumkan nama negeri di peringkat antarabangsa.
Dua atlet berkenaan ialah pemain boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple bagi acara singles lelaki dan Aleena Ahmad Nawawi (kiri) bagi acara pairs wanita, yang masing-masing meraih pingat perak pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Beliau berkata kadar insentif akan ditentukan selepas mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan mengambil kira tahap pencapaian temasya yang disertai.
“Kita memang mempunyai kadar tertentu dan pemberian dibuat mengikut tahap pencapaian temasya. Nilai insentif bagi Olimpik berbeza, begitu juga Sukan Asia dan Komanwel. Jumlahnya telah diputuskan serta dipersetujui mengikut syarat Exco kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bendera Negeri Perak “Belang Tarung Tiga Warna” bagi Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri turut menyediakan insentif kepada atlet yang berjaya menyumbang pingat pada SUKMA 2026.
Bagi acara individu, atlet yang meraih pingat emas menerima RM6,000, diikuti RM3,000 bagi perak dan RM1,500 bagi gangsa.