Piala ASEAN: Harimau Malaya tekad bangkit hadapi Filipina

Sesi latihan Harimau Malaya di Arena UM pada Selasa/ RTM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos- Harimau Malaya menggalas misi kebangkitan apabila aksi menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Sabtu ini menjadi penentu dalam usaha menghidupkan peluang mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Daryl Sham yakin pasukan layak ke separuh akhir jika semua pemain berikan aksi terbaik sepanjang 90 minit.
  • Fokus pasukan ialah persiapan rapi serta memperkemas corak permainan dan aspek mental serta fizikal.
  • Jangan memandang mudah Filipina kerana mereka berkemampuan memberi saingan sengit pada perlawanan penting ini.
  • Muhammad Faris mahu perbaiki kelemahan selepas aksi menentang Thailand dan membantu pasukan raih tiga mata.

Pemain tengah, Daryl Sham percaya Harimau Malaya memiliki kemampuan untuk kembali ke landasan kemenangan dengan syarat setiap pemain memberikan aksi terbaik sepanjang 90 minit perlawanan.

“Saya yakin kami mampu layak ke separuh akhir jika memberikan aksi terbaik ketika menentang Filipina. Sekarang fokus kami ialah melakukan persiapan sebaik mungkin dan memastikan kami bersedia untuk perlawanan itu,” katanya selepas sesi latihan Harimau Malaya di Arena Universiti Malaya (UM) pada Selasa.

Menurut Daryl, pasukan kini memberi tumpuan memperkemaskan corak permainan selain memperkuat aspek mental dan fizikal bagi menghadapi perlawanan yang cukup penting itu.

Beliau turut mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak memandang mudah kemampuan Filipina yang memiliki kualiti tersendiri dan mampu memberi saingan sengit.

Sementara itu, pemain pertahanan, Muhammad Faris Danish Mohd Asrul mengakui mahu memperbaiki kelemahan selepas aksi menentang Thailand, selain membantu pasukan mencatat kemenangan pada perlawanan berikutnya.

“Saya masih belum berpuas hati dengan prestasi ketika menentang Thailand kerana saya rasa boleh memberikan lebih daripada itu. Insya-Allah, kami akan memperbaiki kelemahan dan berusaha mendapatkan tiga mata ketika bertemu Filipina,” katanya.

Harimau Malaya perlu menewaskan Filipina bagi mengukuhkan peluang mara ke separuh akhir, selain mengharapkan keputusan perlawanan antara Thailand dan Myanmar memihak kepada mereka.

Thailand kini menerajui Kumpulan B dengan sembilan mata maksimum hasil tiga kemenangan berturut-turut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.