Emas Komanwel: Amir Daniel layak terima ganjaran SKIMAS

Foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 5 Ogos – Pulau Pinang akan memberikan insentif kepada Amir Daniel Abdul Majeed atas kejayaan atlet kelahiran negeri itu mencipta sejarah menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara judo sepanjang penyertaan pada temasya Sukan Komanwel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sambutan wira di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, disambut MSN, keluarga dan rakan dengan tepukan gemuruh.
  • Gooi puji peningkatan prestasi konsisten Amir selepas meraih pingat emas pada Sukan SEA tahun lalu.
  • Amir akan kembali jalani latihan segera untuk Sukan Asia 2026; sasaran jangka panjang melayakkan diri ke Olimpik Los Angeles 2028.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata Amir Daniel layak menerima ganjaran menerusi Skim Insentif Kemenangan Sukan (SKIMAS) Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai penghargaan terhadap kejayaannya mengharumkan nama Pulau Pinang dan negara di pentas antarabangsa.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami mengucapkan syabas dan tahniah kepada Amir Daniel atas pencapaian penuh bersejarah ini.

“Sememangnya beliau layak menerima ganjaran SKIMAS yang ditawarkan kerajaan negeri, namun jumlah amaun akan diumumkan Ketua Menteri (Chow Kon Yeow),” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan Amir Daniel di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, tengah malam Selasa.

Kejayaan bersejarah itu menjadikan Amir Daniel muncul atlet judo Malaysia pertama meraih pingat emas di Sukan Komanwel selepas menjuarai kategori bawah 81 kilogram lelaki, menewaskan atlet Afrika Selatan Timothy Meuwsen menerusi mata waza-ari menggunakan teknik kata-guruma pada aksi final di Scottish Event Campus pada edisi Glasgow 2026, baru-baru ini.

Terdahulu, atlet berusia 22 tahun itu diberikan sambutan wira sebaik tiba di LTAPP bersama jurulatihnya, Md Nashriq Md Nasir, dengan tepukan gemuruh dan sorakan oleh wakil Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang, ahli keluarga serta rakan-rakan.

Mengulas lanjut, Gooi berkata kejayaan dilakar Amir Daniel membuktikan peningkatan prestasi yang konsisten atlet muda itu selepas meraih pingat emas pada Sukan SEA tahun lepas.

Beliau berharap Amir Daniel meneruskan latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2026 dengan sasaran menambah lebih banyak kejayaan serta pingat emas buat negara.

Sementara itu, Amir Daniel berkata beliau terharu dengan sambutan diberikan selain gembira dapat berkongsi kejayaan tersebut bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.

Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu tidak akan berehat lama, sebaliknya beliau berkata akan kembali menjalani latihan bermula hari ini sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, yang dijadual berlangsung September ini.

“Selepas ini fokus saya ialah membuat persiapan untuk Sukan Asia. Sasaran jangka panjang saya pula adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028,” katanya. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.