RUU Statistik 2026 diluluskan, perkukuh kredibiliti statistik rasmi negara

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 diluluskan Dewan Negara hari ini bagi memperkukuh tadbir urus Sistem Statistik Negara serta meningkatkan kredibiliti statistik rasmi negara menerusi pemerkasaan peranan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan penggunaan data pentadbiran dalam penghasilan statistik rasmi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkasa peranan Jabatan Perangkaan Malaysia sebagai National Statistical Office bagi menyokong pembuatan keputusan berasaskan bukti.
  • Mewujudkan standard, definisi dan metodologi seragam serta memperkukuh tadbir urus melalui kerjasama strategik kementerian dan agensi.
  • Memperkuatkan perlindungan data dengan sekatan penerbitan, kerahsiaan pegawai, larangan guna untuk tujuan percukaian dan repositori selamat.
  • Menubuhkan Majlis Statistik Negara sebagai badan penasihat utama untuk penyelarasan dasar, strategi, tadbir urus dan standard statistik.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, RUU itu turut menyokong pembuatan keputusan berasaskan bukti dengan memperkukuh peranan DOSM sebagai National Statistical Office (NSO).

Katanya, langkah itu memastikan statistik rasmi negara dihasilkan mengikut standard, definisi dan metodologi yang seragam, di samping memperkukuh Sistem Statistik Negara.

“Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 ini merupakan langkah yang penting untuk memperkukuh Sistem Statistik Negara agar lebih berdaya tahan dan responsif.

“RUU ini turut memperkasakan peranan Jabatan Perangkaan Malaysia serta memperkukuh tadbir urus data melalui kerjasama strategik antara kementerian, agensi dan pihak berkepentingan,”katanya.

Tambah beliau, RUU itu turut memperkukuh perlindungan data melalui peruntukan berkaitan sekatan penerbitan, kerahsiaan pegawai dan larangan penggunaan data bagi tujuan percukaian.

Pelaksanaan RUU itu dijangka meningkatkan keyakinan rakyat, pembuat dasar dan pengguna statistik terhadap kualiti, integriti serta kebolehpercayaan statistik rasmi negara.

“Kerajaan komited memperkukuhkan ekosistem statistik negara melalui sokongan dan kerjasama semua pihak bagi menyokong pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, RUU berkenaan turut memperuntukkan penubuhan Majlis Statistik Negara sebagai badan penasihat utama negara bagi menyelaras dasar, strategi, tadbir urus dan standard berkaitan statistik serta data negara, selain memperkukuh penyelarasan statistik rasmi antara kementerian dan agensi.

Tambahnya, aspek keselamatan dan kerahsiaan data terus diberi keutamaan dengan data yang diterima hanya digunakan bagi tujuan penyediaan statistik rasmi serta disimpan dalam repositori yang selamat.

Akses kepada data pula hanya dibenarkan kepada pegawai yang diberi kuasa mengikut keperluan tugas, manakala statistik yang diterbitkan tidak mendedahkan identiti mana-mana individu atau organisasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.