
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Malaysia dan Kemboja memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik menerusi Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC), yang diadakan semula selepas hampir dua dekad, sekali gus membuka lembaran baharu hubungan kedua-dua negara menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada 2027.
- Persetujuan memperkukuh kerjasama dalam keselamatan makanan, perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, pertanian pintar dan keselamatan serantau.
- Fokus keselamatan makanan: bekalan beras dan bijirin, penyelidikan pertanian, pertanian pintar serta tanaman tahan perubahan iklim.
- Pemeteraian MoU antara MARDI dan CARDI bagi pertanian pintar dan pembangunan tanaman lebih tahan iklim.
- Nilai dagangan dua hala meningkat 27.4 peratus kepada RM5 bilion pada 2025; Malaysia pelabur asing ketiga terbesar di Kemboja.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn.
Menurut kenyataan Wisma Putra, kedua-dua negara telah mencapai persetujuan untuk memperkukuh kerjasama dalam beberapa sektor utama termasuk keselamatan makanan, perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, pertanian pintar dan keselamatan serantau.
Antara fokus utama ialah usaha memperkukuh keselamatan makanan menerusi kerjasama dalam bekalan beras dan bijirin, penyelidikan pertanian, pembangunan pertanian pintar serta penghasilan tanaman yang lebih tahan terhadap perubahan iklim.
“Kedua-dua negara turut bersetuju memperluaskan kerjasama dalam perdagangan halal, pelaburan, teknologi kewangan, pembayaran digital dan penyelesaian transaksi menggunakan mata wang tempatan bagi mengukuhkan hubungan ekonomi serta memudahkan urusan perdagangan rentas sempadan.
“JCBC juga memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama membanteras sindiket penipuan pekerjaan rentas sempadan melalui perkongsian maklumat, proses menyelamat dan penghantaran pulang mangsa, selain meningkatkan penyelarasan dalam isu ASEAN serta kestabilan serantau,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat berkenaan membuka laluan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Cambodian Agricultural Research and Development Institute (CARDI) dalam bidang pertanian pintar serta pembangunan tanaman yang lebih tahan terhadap perubahan iklim.
Pada akhir mesyuarat, Datuk Seri Mohamad dan Prak menyaksikan majlis menandatangani ‘Agreed Minutes’ yang merekodkan hasil serta hala tuju kerjasama yang dipersetujui kedua-dua negara.
Prak kemudian diraikan pada majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan Mohamad sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia yang bermula semalam.
Pada 2025, nilai dagangan dua hala Malaysia dan Kemboja meningkat 27.4 peratus kepada RM5 bilion.
Malaysia juga kekal sebagai pelabur asing ketiga terbesar di Kemboja dengan pelaburan terkumpul berjumlah AS$3.2 bilion merangkumi 162 projek sehingga 2024.
Selain mempengerusikan bersama Mesyuarat Ketiga JCBC, Prak turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama di peringkat ASEAN.
Beliau dijadual mengakhiri lawatan rasmi ke Malaysia dengan berlepas pulang ke Kemboja petang ini.
Mesyuarat JCBC merupakan platform tertinggi hubungan dua hala Malaysia-Kemboja yang berfungsi menyelaras kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk politik, ekonomi, perdagangan, pelaburan, pertanian, pendidikan, pertahanan dan pembangunan sumber manusia.
Penganjuran semula mesyuarat itu selepas hampir 20 tahun mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh lagi hubungan strategik.