Manfaatkan himpunan permotoran untuk tingkatkan bekalan darah negara

Ketua Seksyen Pengurusan Pendermaan Darah, Bahagian Perolehan Darah, Pusat Darah Negara, Dr. Nor Hafidza Haron / Foto RTM

ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 4 Ogos – Himpunan permotoran seharusnya dimanfaatkan sebagai platform yang memberi impak positif termasuk dengan menganjurkan kempen menderma darah sekali gus membantu meningkatkan bekalan darah negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komuniti permotoran berpotensi menjadi penderma darah aktif dan konsisten melalui kempen derma semasa himpunan permotoran.
  • Kempen derma darah sebaiknya dianjurkan pada tarikh berlainan daripada hari konvoi supaya penderma cukup rehat dan layak.
  • Diharapkan komuniti permotoran menggalakkan penganjuran kempen derma sebagai tanggungjawab sosial untuk memastikan bekalan darah mencukupi.

Ketua Seksyen Pengurusan Pendermaan Darah, Bahagian Perolehan Darah, Pusat Darah Negara, Dr. Nor Hafidza Haron berkata sambutan memberangsangkan yang diterima setiap kali himpunan permotoran berpotensi menggalakkan peserta menderma darah sepanjang penganjuran.

“Komuniti permotoran boleh menjadi penderma darah yang aktif dan konsisten menerusi kempen derma darah itu.

“Kita menggalakkan juga mereka hadir ke Pusat Darah Negara untuk menderma darah secara berkumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada program bual bicara Selamat Pagi Malaysia di sini.

Sementara itu, Dr Nor Hafidza berkata kempen menderma darah lebih sesuai dianjurkan pada tarikh berlainan dengan hari konvoi bagi memastikan penderma berada dalam keadaan yang cukup rehat dan layak untuk menderma darah.

“Saya berharap lebih ramai dalam komuniti permotoran tampil menganjurkan kempen menderma darah sebagai tanggungjawab sosial sekali gus membantu bekalan darah sentiasa mencukupi untuk keperluan pesakit,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.