
PARIS, 4 Ogos – Penyerang Sepanyol, Gonzalo Garcia sah menyertai Fulham daripada Real Madrid, sekali gus kembali bergandingan dengan bekas jurulatihnya, Alvaro Arbeloa, umum kedua-dua kelab itu pada Isnin.
- Garcia menandatangani kontrak bersama Fulham sehingga 2031 dengan pilihan sambungan selama setahun.
- Beliau menikmati musim terbaiknya dengan lapan gol, termasuk hatrik menentang Real Betis.
- Perpindahan dianggarkan kira-kira 40 juta euro dan Real Madrid mengekalkan klausa 30 peratus jualan semula.
Pemain berusia 22 tahun itu menikmati musim paling cemerlang bersama Real Madrid musim lalu apabila meledak lapan gol dalam semua pertandingan, termasuk enam gol dalam saingan La Liga.
Antara pencapaian terbaiknya ialah jaringan hatrik ketika menentang Real Betis pada Januari.
Garcia menandatangani kontrak bersama Fulham sehingga 2031, dengan kelab Liga Perdana Inggeris itu mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontraknya selama setahun lagi.
Media Sepanyol melaporkan nilai perpindahan Garcia dianggarkan sekitar 40 juta euro (AS$46 juta), manakala Real Madrid difahamkan mengekalkan klausa 30 peratus daripada nilai jualan semula pemain itu pada masa hadapan.
Garcia bukan satu-satunya pemain muda Sepanyol yang berhijrah dari Madrid ke barat London.
Pemain tengah menyerang berusia 21 tahun, Cesar Palacios, turut menyertai Fulham selepas berjaya menembusi skuad utama Real Madrid bawah bimbingan Arbeloa sejak beberapa bulan lalu.
Real Madrid yang melantik jurulatih berpengalaman dari Portugal, Jose Mourinho bagi menggantikan Arbeloa, kini sedang merombak skuad selepas gagal memenangi sebarang trofi utama dalam dua musim berturut-turut. -AFP