PM bangga pencapaian Malaysia di Glasgow 2026

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh kontinjen Malaysia atas semangat juang serta prestasi cemerlang yang dipamerkan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penghargaan kepada jurulatih, pegawai, pasukan sokongan dan seluruh rakyat atas sokongan kepada kontinjen.
  • Kontinjen menutup kempen dengan lapan emas, tiga perak dan lima gangsa, berada di kedudukan ke-10 keseluruhan.
  • Persembahan melepasi sasaran yang ditetapkan dan mencatat prestasi terbaik Malaysia di Sukan Komanwel sejak 2010.
  • Semangat juang atlet dipuji; rakyat diharap terus memberi sokongan dan doa kepada wira dan wirawati negara.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jurulatih, pegawai, pasukan sokongan serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan kontinjen negara.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh kontinjen Malaysia atas semangat juang yang luar biasa dan prestasi membanggakan yang dipamerkan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

“Terima kasih kepada jurulatih, pegawai, pasukan sokongan serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaan kontinjen negara. Syabas, wira dan wirawati Malaysia,” katanya.

Malaysia menutup kempen di Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan pencapaian membanggakan apabila meraih lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan ke-10 keseluruhan.

Pencapaian itu menyaksikan kontinjen negara bukan sahaja melepasi sasaran yang ditetapkan, malah mencatat prestasi terbaik Malaysia di temasya Sukan Komanwel sejak edisi 2010.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.