
GEORGE TOWN, 3 Ogos – Lebih 5,400 peserta tempatan dan antarabangsa dari 11 negara dijangka menyertai Jambori Pengakap ke-15 yang bakal berlangsung di Bandar Cassia, Batu Kawan pada 29 Ogos hingga 4 September depan.
- Program selama tujuh hari memuatkan aktiviti kepimpinan, STEM, inovasi, kelestarian, scout skill challenge, aktiviti ikhtiar hidup, pameran agensi dan Merdeka Hike.
- Program memperkukuh jaringan antarabangsa dan membuka ruang pertukaran budaya antara peserta negara-negara terlibat.
- Ketua Menteri menyeru agensi kerajaan, sektor swasta, sukarelawan dan komuniti berganding bahu memastikan penganjuran berjalan lancar, selamat dan mencapai objektif.
Pelbagai aktiviti berteraskan kepimpinan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi dan kelestarian bakal dilaksanakan dalam tempoh tujuh hari tersebut.
Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata antara pengisian program termasuk ‘scout skill challenge’, aktiviti ikhtiar hidup serta pameran pelbagai agensi dan Merdeka Hike.
Beliau berkata program tersebut bukan sahaja memperkukuh jaringan hubungan antarabangsa, malah ia membuka ruang pertukaran budaya antara negara.
“Sehubungan itu, saya menyeru agensi kerajaan, sektor swasta sukarelawan dan komuniti setempat agar agar berganding bahu memastikan penganjuran program ini berjalan lancar, selamat dan mencapai objektifnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Komtar.