
SEBERANG JAYA, 3 Ogos – Kesemua 24 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Pulau Pinang bakal dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV).
- Program pemasangan CCTV untuk memperkukuh keselamatan premis, melindungi peserta OKU dan petugas.
- Inisiatif dilaksanakan menerusi Program 360° Kita Bersama hasil kerjasama dengan syarikat Petron.
- Program bertujuan mengumpul dana bagi memasang empat unit CCTV di setiap PPDK negeri itu.
- Kementerian dan JKM mengalu-alukan penglibatan sektor swasta bagi meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan PPDK.
Ia sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan premis serta melindungi peserta orang kurang upaya (OKU) dan petugas.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program 360° Kita Bersama hasil kerjasama dengan syarikat Petron.
Program itu bertujuan mengumpulkan dana memasang empat unit CCTV di setiap PPDK di negeri itu.
“Untuk menjaga keselamatan, kita tidak mahu apa-apa berlaku, terutamanya pencerobohan atau penderaan. Jadi kita mengadakan CCTV. Ini sama dengan sekolah. Kita juga menggalakkan banyak sekolah juga menyediakan CCTV”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program 360° Kita Bersama di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Seberang Jaya.
Tambahnya, kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengalu-alukan lebih banyak penglibatan sektor swasta bagi membantu meningkatkan kemudahan serta perkhidmatan di PPDK.
Ketika ini, terdapat 576 PPDK di seluruh negara yang memberi perkhidmatan kepada kira-kira 22,000 peserta.