Akta Iltizam pertingkat kecekapan perkhidmatan, kurangkan birokrasi

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (dua dari kanan) – Foto RTM

SINTOK, 3 Ogos – Pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) atau Akta Iltizam bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua kementerian diwajib menilai semula sekurang-kurangnya 25% peraturan dan prosedur serta lapor kemajuan kepada Parlimen setiap tiga tahun.
  • Reformasi Kerenah Birokrasi menghasilkan 439 projek siap sejak 2024 dengan anggaran penjimatan kos pematuhan RM2.95 bilion menurut penilaian MPC.
  • Konvensyen Iltizam menghimpunkan kira-kira 1,200 penjawat awam bagi libat urus antara kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
  • Projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis kini 85 hingga 90 peratus siap, dijangka selesai sepenuhnya menjelang Januari 2027.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, menerusi akta itu, semua kementerian dan agensi dikehendaki menilai semula sekurang-kurangnya 25 peratus peraturan dan prosedur sedia ada serta melaporkan kemajuan pelaksanaannya kepada Parlimen setiap tiga tahun.

“Kerajaan memperkukuh kecekapan sistem penyampaian melalui pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA),” katanya.

Menurutnya, sejak dilaksanakan pada 2024, sebanyak 439 projek RKB berjaya disiapkan dengan anggaran penjimatan kos pematuhan RM2.95 bilion kepada rakyat dan komuniti perniagaan berdasarkan penilaian oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Iltizam 2026 di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini.

Turut hadir Naib Canselor UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Konvensyen itu menghimpunkan kira-kira 1,200 penjawat awam daripada pelbagai peringkat dalam libat urus antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam pelaksanaan Akta Iltizam.

Akta Iltizam diwartakan pada 22 Mei 2025 dan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Disember 2025.

Sementara itu, Tan Sri Shamsul Azri memaklumkan, pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis di Bukit Chabang, Padang Besar yang terbengkalai sejak 2013, dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari 2027.

Menurutnya, perkembangan semasa projek itu menunjukkan ia berada pada landasan tepat dengan kemajuan fasa pertama kini mencapai 85 hingga 90 peratus.

“Saya yakin kita boleh siapkan. Ia mempunyai dua fasa. Fasa pertama, Insya-allah kita boleh siapkan pada Januari 2027.

“Tadi saya tengok secara purata, projek itu telah siap antara 85 hingga 90 peratus. Banyak isu yang dihadapi melibatkan pekerja, data yang tidak mencukupi dan juga kontraktor,” katanya lagi.

Pada April tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan projek berkenaan diserahkan kepada syarikat milik kerajaan yang berkeupayaan bagi memastikan pembinaan sekolah itu dapat disiapkan tanpa sebarang kelewatan lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.