
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) memohon kerajaan untuk menangguhkan dan mengkaji semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas bil utiliti bagi penyewa komersial yang berkuat kuasa 1 Julai lalu kerana berisiko mengakibatkan cukai berganda.
- Pengenaan SST enam peratus ke atas bil elektrik, air, chilled water dan caj utiliti kepada pengurusan pusat beli-belah cenderung wujudkan persaingan tidak seimbang.
- MRCA menegaskan caj utiliti oleh pengurusan dan pemilik hanyalah perbelanjaan operasi yang dipulihkan, bukan sumber pendapatan bercukai.
- Pengenaan SST dianggap cukai berganda kerana SST sudah dikenakan pada pembekal utiliti, meningkatkan kos operasi peruncit dan risiko pemindahan kos kepada pengguna.
- MRCA menggesa perbincangan segera dengan Kementerian Kewangan dan JKDM; memorandum bersama lapan persatuan telah difailkan untuk sesi libat urus.
Menurut MRCA, pelaksanaan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas bil elektrik, air, bekalan air sejuk (chilled water) serta caj utiliti lain yang dibayar kepada pengurusan pusat beli-belah hanya akan mewujudkan persaingan yang tidak seimbang dalam industri peruncitan.
MRCA menjelaskan, caj utiliti yang dikutip oleh pengurusan pusat beli-belah dan pemilik premis komersial hanya perbelanjaan operasi yang diperoleh semula atas dasar bayaran balik.
”Kami berpandangan pengenaan SST ke atas caj berkenaan disifatkan sebagai cukai berganda memandangkan SST telah pun dikenakan di peringkat pembekal utiliti.
”Langkah ini hanya akan meningkatkan kos operasi peruncit tanpa menambah nilai ekonomi atau produktiviti, sekali gus berisiko menyebabkan kenaikan kos tersebut dipindahkan kepada pengguna melalui harga barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi,” jelas MRCA dalam satu kenyataan.
Isu itu timbul susulan Garis Panduan Perkhidmatan Sewaan atau Pajakan (Versi 2) yang dikeluarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 14 Mei 2026.
Berikutan garis panduan tersebut, ahli MRCA menerima notis daripada pengurusan pusat beli-belah pada awal Julai memaklumkan cukai perkhidmatan enam peratus akan dikenakan ke atas bil utiliti penyewa secara berkuat kuasa 1 Julai.
Persatuan itu turut menggesa agar perbincangan segera dengan Kementerian Kewangan serta JKDM diadakan bagi mencari penyelesaian yang lebih praktikal.
Menurut MRCA, pengusaha runcit ketika ini berdepan peningkatan pelbagai kos operasi termasuk sewa premis, gaji pekerja dan yuran pengurusan yang mengehadkan kemampuan mereka untuk menanggung beban cukai tambahan.
Pada masa sama, MRCA memaklumkan memorandum bersama telah dikemukakan kepada JKDM pada 25 Jun lalu oleh gabungan lapan persatuan perdagangan utama bagi memohon sesi libat urus berhubung isu berkenaan.