
SERI MENANTI, 2 Ogos – Kepimpinan Negeri Sembilan perlu diterajui pemimpin yang berintegriti tinggi, menjunjung maruah serta berpegang teguh kepada prinsip dan nilai murni demi memastikan pentadbiran yang berkesan dan diyakini rakyat.
- Tuanku Muhriz menegaskan setiap amanah mesti dilaksanakan dengan tanggungjawab, kejujuran dan keikhlasan.
- Baginda mengingatkan agar sebarang penyalahgunaan kuasa atau kepercayaan dielakkan kerana mencemarkan institusi dan menjejaskan dasar serta kemajuan negeri.
- Baginda melantik Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dalam istiadat rasmi.
- Tuanku Muhriz berharap Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri menghormati institusi diraja, memelihara kedaulatan perlembagaan dan mengiktiraf kuasa Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, setiap amanah yang dipikul hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, kejujuran dan keikhlasan.
Titah baginda, sebarang penyalahgunaan kuasa, kedudukan atau kepercayaan bukan sahaja mencemarkan institusi yang diwakili, malah boleh mengakibatkan ketidakadilan serta menjejaskan pelaksanaan dasar demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri.
Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti.
Pada istiadat itu, baginda berkenan melantik Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Tuanku Muhriz turut menzahirkan kepercayaan agar Datuk Ismail terus berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan jujur, selain meneruskan kecemerlangan pentadbiran terdahulu serta menambah baik sebarang kelemahan.
Baginda juga mengingatkan Menteri Besar dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri supaya sentiasa menghormati serta taat setia kepada institusi diraja, memelihara kedaulatan perlembagaan negeri dan mengiktiraf kuasa Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.